JOHOR BAHRU, 15 Julai 2026 Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan menerusi penyertaan dalam Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UTM ke-18 Tahun 2026. Penyertaan ini mencerminkan komitmen warga perpustakaan dalam membangunkan penyelesaian inovatif yang mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkemas proses kerja serta mempertingkat pengalaman pengguna selaras dengan aspirasi kecemerlangan universiti.

Bagi edisi kali ini, Jabatan Perpustakaan UTM diwakili oleh dua kumpulan, iaitu Kumpulan SAKTI dan Kumpulan FCVISION, yang masing-masing mengetengahkan projek berimpak tinggi berteraskan penambahbaikan proses kerja dan peningkatan kualiti perkhidmatan.

Kumpulan SAKTI membentangkan projek bertajuk Penambahbaikan Proses Kerja Penempahan (On Hold) Bilik-Bilik di Perpustakaan UTM. Projek ini memfokuskan penambahbaikan proses pengurusan penempahan bilik yang berstatus on hold bagi memastikan urusan tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, telus dan efisien. Inisiatif ini dijangka dapat mempercepatkan proses pengesahan penempahan, mengurangkan tempoh menunggu pengguna serta meningkatkan keberkesanan pengurusan ruang pembelajaran di Perpustakaan UTM.

Sementara itu, Kumpulan FCVISION mempertandingkan projek bertajuk Kelewatan Menguruskan Aduan Pengguna Terhadap Kemudahan Fasiliti Perpustakaan UTM (Bangunan PSZJB). Projek ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan proses pengurusan aduan fasiliti bagi memastikan setiap aduan dapat ditangani secara lebih pantas, sistematik dan berkesan. Melalui pelaksanaan projek ini, kumpulan mensasarkan pengurangan tempoh maklum balas aduan, peningkatan kecekapan penyelarasan tindakan serta pengukuhan mekanisme pemantauan dan pelaporan, sekali gus meningkatkan tahap kepuasan pengguna terhadap kemudahan perpustakaan.

Penyertaan dalam Projek KIK merupakan platform strategik yang menggalakkan pembudayaan kreativiti, inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga universiti. Melalui penghasilan idea serta penyelesaian yang praktikal dan berimpak tinggi, Perpustakaan UTM komited untuk terus memperkasakan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkualiti dan berorientasikan pengguna, selaras dengan aspirasi universiti dalam merealisasikan agenda Menginovasi Penyelesaian Lestari.

Seluruh warga Jabatan Perpustakaan UTM merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada Kumpulan SAKTI dan Kumpulan FCVISION dalam Projek KIK UTM ke-18 Tahun 2026. Semoga usaha dan inovasi yang diketengahkan mampu menghasilkan impak yang signifikan kepada organisasi serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan penyampaian perkhidmatan perpustakaan yang mampan pada masa hadapan.



Share this :
UTM Open Day