JOHOR BAHRU, 22 Julai 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Program Telaah Siri 5/2026 yang berlangsung di Ruang Terbuka Aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru pada jam 11.00 pagi.
Program ilmiah ini menampilkan Sasterawan Negara Malaysia Ke-10, Dato’ Dr. Mohd Anuar Hj. Rethwan, sebagai panel bagi mengupas kandungan buku Minda Melayu yang diselenggarakan oleh beliau sendiri. Sesi ini membawakan Prof. Ts. Dr. Ida Idayu Muhamad, Ketua Kampus UTM Cawangan Pagoh selaku moderator.

Penganjuran Program Telaah Siri 5/2026 bertujuan memperkaya budaya ilmu dalam kalangan warga universiti serta masyarakat melalui perkongsian ilmu daripada tokoh akademik dan sasterawan yang berwibawa. Program ini turut menjadi platform untuk menggalakkan pembacaan, pemikiran kritis dan penghargaan terhadap karya-karya ilmiah yang menyentuh aspek ketamadunan serta pembinaan jati diri bangsa.
Menerusi sesi telaah ini, buku Minda Melayu telah dibincangkan secara mendalam dengan menelusuri pelbagai aspek berkaitan pemikiran, jati diri, nilai budaya, bahasa dan peradaban Melayu dalam mendepani cabaran dunia moden yang semakin kompleks. Perbincangan turut menekankan bahawa kekuatan sesuatu bangsa bukan sahaja terletak pada kemajuan fizikal dan ekonomi, malah diperkukuh melalui penguasaan ilmu, pemeliharaan bahasa, adab serta nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada pembentukan masyarakat yang berintegriti.


Selain itu, panel turut menghuraikan kepentingan memelihara warisan intelektual Melayu sebagai sumber inspirasi dalam membentuk generasi yang berfikiran matang, beretika, berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global tanpa mengabaikan identiti dan jati diri bangsa.
Sepanjang program berlangsung, program turut diserikan dengan deklamasi puisi oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Hj. Rethwan yang diiringi alunan muzik gitar oleh En. Mohd Syawal bin Mohamed Abdul Fatah daripada Seksyen Kebudayaan dan Oratori, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Persembahan tersebut bukan sahaja menyemarakkan suasana program, malah memperlihatkan keindahan kesusasteraan Melayu sebagai wahana penyampaian pemikiran, nilai dan penghayatan terhadap ilmu.


Program Telaah diharapkan dapat terus memperkukuh budaya membaca, membudayakan perbincangan ilmiah dan menyemarakkan tradisi keilmuan dalam kalangan warga UTM, selaras dengan aspirasi universiti sebagai sebuah institusi yang menjunjung kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi.



Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada panel yang telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan UTM, Puan Khairulbahiyah Yaakub, sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau berkongsi ilmu dan pengalaman. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar serta interaksi santai antara panel dan para peserta, sekali gus memberi peluang kepada hadirin untuk bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan dalam suasana yang mesra dan penuh bermakna.