KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Program Library On Air@KSJ – Sembang Siswa bertemakan “AI Dari Kampus Ke Dunia Industri” yang berlangsung di Kolej Siswa Jaya (KSJ) mengetengahkan kepentingan penguasaan kecerdasan buatan (AI) dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi dunia industri yang semakin berkembang.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya (KSJ) itu menampilkan Prof. Madya Ir. Dr. Rudzidatul Akmam binti Dziyauddin, Pensyarah Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), serta Wan Safiah binti Mohamad Shahfrin, pelajar Fakulti AI sebagai panel jemputan, manakala Nur Kasih Ranea binti Hadznoel Zaidi bertindak sebagai moderator.

Menurut Prof. Madya Ir. Dr. Rudzidatul Akmam, AI kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan proses kerja, termasuk dalam penyelesaian masalah, reka bentuk, penjanaan idea serta pengaturcaraan. Beliau menyifatkan AI sebagai “career multiplier” yang mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan seseorang dalam pekerjaan.
Beliau turut menegaskan bahawa persaingan masa kini bukan lagi sekadar “AI versus human”, sebaliknya “human with AI ability versus human without AI ability”, sekali gus menunjukkan kepentingan mahasiswa untuk menguasai kemahiran menggunakan AI dengan berkesan.


Dalam pada itu, mahasiswa disarankan memperkukuhkan kemahiran teknikal melalui kursus tambahan seperti Machine Learning dan Python, termasuk menerusi platform micro-credential. Pada masa yang sama, kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, penyelesaian masalah, kemahiran rundingan dan kemahiran berfikir dengan kritis turut dianggap penting dalam memenuhi kehendak majikan.
Perbincangan turut menyentuh jurang antara universiti dengan industri, khususnya dari segi penggunaan perisian dan perkakasan khusus yang digunakan oleh pihak industri. Namun, Prof. Madya Ir. Dr. Rudzidatul menjelaskan bahawa universiti berperanan menyediakan asas atau “foundation” yang kukuh agar graduan mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai teknologi apabila memasuki bidang industri nanti.
Sementara itu, Wan Safiah berkongsi pengalaman memenangi tempat pertama dalam GCI World Competition yang membawanya ke Tokyo untuk meneroka ekosistem startup. Menurut beliau, pengalaman tersebut membuktikan bahawa kejayaan dalam bidang AI bukan hanya bergantung kepada ketepatan teknikal, tetapi turut dipengaruhi oleh kemahiran komunikasi dan pemahaman terhadap model perniagaan.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa yang ingin menceburi bidang AI agar “mula sahaja” (just start) tanpa menunggu sehingga benar-benar bersedia. Menurut beliau, “bila kita nak tunggu kita ready, we are never ready”. Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar tidak terlalu membandingkan diri dengan kejayaan orang lain.
Wan Safiah turut mengingatkan bahawa perkembangan AI berlaku dengan begitu pantas, justeru mahasiswa perlu sentiasa bersedia untuk belajar, menyesuaikan diri dan mengikuti perkembangan teknologi semasa.
Selain itu, mahasiswa turut digalakkan untuk melibatkan diri atau menyertai pertandingan, dan juga program yang berkaitan dengan inovasi dan teknologi. Usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk mengetengahkan lagi kemahiran dan juga pengetahuan kepada pihak industri.
Secara keseluruhannya, program ini memberikan pendedahan praktikal kepada mahasiswa bahawa persediaan untuk menghadapi dunia industri dalam era AI ini memerlukan keseimbangan antara kemahiran teknikal, kemahiran insaniah, kebolehsuaian dan juga keberanian. Sesi perkongsian ini turut memperlihatkan peranan perpustakaan sebagai platform perkongsian ilmu dan wacana semasa dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.
Author : Nurul Hatikah Hasan