JOHOR BAHRU, 27 Ogos 2026 – Jabatan Perpustakaan UTM meneruskan usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga universiti menerusi Program Read & Relax Siri 12/2026 yang mengetengahkan perkongsian dan ulasan terhadap dua buah karya terpilih, Suzume dan No Longer Human. Sesi perkongsian ini memberikan ruang kepada peserta untuk meneroka pelbagai perspektif, pemikiran dan nilai yang terkandung dalam karya yang dibincangkan.

Siri kali ini menampilkan dua orang panel, iaitu Muhammad Irfan Syahmi B. Shape’e, Pelajar Latihan Industri Jabatan Perpustakaan UTM, yang mengupas buku Suzume, serta Amirah Hamizah binti Zailani, Pelajar Latihan Industri Jabatan Perpustakaan UTM, yang mengulas buku No Longer Human. Sesi perkongsian ini dikendalikan oleh Yasmin Ellysha binti Khairulnizam, Pembantu Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM, selaku moderator.

Dalam sesi pertama, Muhammad Irfan Syahmi B. Shape’e berkongsi ulasan mengenai Suzume, sebuah karya yang mengetengahkan perjalanan seorang remaja dalam menghadapi pengalaman, kehilangan dan cabaran kehidupan. Perkongsian tersebut turut mengupas nilai serta mesej yang disampaikan melalui penceritaan dan perkembangan watak dalam karya berkenaan, sekaligus memberikan perspektif yang lebih mendalam kepada peserta terhadap karya yang dibincangkan.

Seterusnya, Amirah Hamizah binti Zailani mengulas No Longer Human, sebuah karya yang mengangkat persoalan berkaitan kehidupan, hubungan sesama manusia dan konflik dalaman individu. Perkongsian tersebut memberi peluang kepada penonton untuk meneliti karya berkenaan secara lebih kritis, di samping memahami pelbagai persoalan dan perspektif yang diketengahkan menerusi penceritaannya.

Secara keseluruhannya, Program Read & Relax Siri 12/2026 menjadi wadah perkongsian ilmu yang mempertemukan pelbagai perspektif melalui penghayatan terhadap karya sastera dan bahan bacaan terpilih. Program ini bukan sahaja memperluas pengetahuan dan pemikiran peserta, malah turut menyokong usaha Jabatan Perpustakaan UTM dalam memperkukuh budaya membaca serta menggalakkan pembentukan pemikiran kritis dalam kalangan warga universiti.

Share this :
UTM Open Day