KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Program BookSharing@UTMKL 2026 Siri Ke-7 telah berlangsung dengan jayanya pada 20 Ogos 2026 (Khamis). Sesi kali ini menampilkan dua orang pengulas jemputan, iaitu Dr. Adam bin Mohd Khairuddin, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), dan Dr. Nurul Hanis binti Azhan, Pensyarah Kanan, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur. Program ini dikendalikan oleh Akil Mustafa Al-Bahrin bin Azmi, Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik, UTMSPACE dan Pelajar Latihan Khas Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.
Dalam sesi pertama, Dr. Adam bin Mohd Khairuddin mengupas buku bertajuk The Computers That Made The World karya Tim Danton yang mengisahkan kelahiran dunia teknologi melalui sejarah 12 buah komputer berpengaruh yang dibangunkan antara tahun 1939 hingga 1950.

Buku ini turut mengetengahkan tokoh seperti Alan Turing dan John von Neumann serta sumbangan mereka dalam perkembangan teknologi komputer. Menariknya, pembaca dapat melihat bagaimana komputer membantu mengubah perjalanan Perang Dunia Kedua dan menjadi asas kepada perkembangan kecerdasan buatan.
Beliau turut menekankan kepentingan teknologi komputer dalam dunia masa kini melalui ungkapan, “Perkembangan AI sangat pesat pada masa kini, we need computers more than ever.” Secara keseluruhannya, buku ini menggambarkan evolusi komputer daripada pengiraan manual kepada mesin elektronik yang mengubah cara manusia bekerja, berkomunikasi dan menjalani kehidupan.

Seterusnya, Dr. Nurul Hanis binti Azhan mengulas buku Cinta Menyala di Constantinople karya Fahd Razy, sebuah kumpulan sembilan cerpen yang sarat dengan unsur sastera, sejarah dan bahasa yang puitis. Cerpen ini membawa pembaca menyelami sejarah Constantinople melalui kisah Leonidas dan Natalya, dua insan yang berbeza agama, identiti dan latar kehidupan. Hubungan mereka terjalin melalui surat, dengan masing-masing berkongsi perasaan dan pandangan tanpa saling menghukum.

Penulis turut menggabungkan fakta sejarah sebenar dengan kisah fiksyen bagi mengangkat persoalan tentang perbezaan, kepercayaan dan usaha memahami dunia orang lain. Beliau mengajak pembaca untuk merenung persoalan tentang cara kita berhadapan dengan perbezaan melalui ungkapan, “Apabila kita bertemu dengan seseorang yang berbeza daripada kita ketika itu, adakah kita nak bina tembok yang menghalang ataupun jambatan yang memahami?” Persoalan ini menjadikan kisah dalam buku tersebut relevan dengan kehidupan seharian, khususnya dalam membina hubungan dan memahami individu yang mempunyai latar belakang serta pemikiran yang berbeza.

Secara keseluruhannya, sesi BookSharing@UTMKL Siri Ke-7 mengetengahkan dua karya yang berbeza tetapi mempunyai tema berkaitan sejarah serta nilai yang saling melengkapi. The Computers That Made The World membuka perspektif tentang perkembangan teknologi dan kesannya terhadap kehidupan manusia, manakala Cinta Menyala di Constantinople mengajak pembaca memahami sejarah, perbezaan dan nilai kemanusiaan. Perkongsian ini membuktikan bahawa budaya membaca bukan sahaja memperluas pengetahuan, malah mampu membina pemikiran kritis, membuka perspektif baru dan menggalakkan kita memahami dunia daripada sudut pandang yang berbeza.