KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (PUTMKL) telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas, Gombak, Selangor yang melibatkan seramai 30 orang pelajar dan tiga orang guru pengiring.
Kunjungan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kemudahan, perkhidmatan dan ruang pembelajaran yang disediakan di PUTMKL, di samping memperkenalkan peranan perpustakaan sebagai pusat sokongan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan ilmu.

Satu sesi taklimat fasiliti telah disampaikan oleh Puan Sharifah Radhiah Syed Azman, Pustakawan PUTMKL. Taklimat tersebut memberikan penerangan mengenai pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang tersedia untuk dimanfaatkan oleh para pengunjung.
Sepanjang kunjungan, para pelajar berpeluang meninjau beberapa ruang utama di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, termasuk Global Language & Cultural Village (GLCV). Puan Marlina Kasiman, Pustakawan PUTMKL, turut memberikan penerangan mengenai GLCV sebagai ruang pembelajaran yang menyokong pembelajaran bahasa serta penghayatan budaya. Di ruang ini, para pelajar diperkenalkan kepada koleksi bahan bacaan dan bahan pameran yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan warisan Malaysia, termasuk permainan tradisional, seni kraf dan aspek budaya tempatan. Mereka turut meninjau kemudahan lain seperti Zon Komputer, Galeri, Sudut Sustainable Development Goals (SDG) dan Wisdom Lounge.

Seterusnya pelawat dibawa meninjau Ruang Bacaan dan Koleksi Buku di Aras 3 dan Aras 4. Lawatan ini memberi peluang kepada para pelajar untuk melihat sendiri suasana pembelajaran yang kondusif, susun atur ruang yang mesra pengguna serta kepelbagaian koleksi dan fasiliti yang disediakan bagi menyokong aktiviti pembacaan, rujukan dan pembelajaran kendiri. Selain mengikuti lawatan sekitar perpustakaan, para pelajar turut diperkenalkan kepada keahlian luar Perpustakaan UTM, sekali gus membuka peluang kepada komuniti luar untuk terus mengakses dan memanfaatkan koleksi, sumber serta kemudahan perpustakaan.

Kunjungan ini diharapkan dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar, di samping menyemarakkan minat terhadap budaya membaca dan kecintaan kepada ilmu pengetahuan. Inisiatif sebegini turut selaras dengan hasrat UTM dalam menyokong pembangunan generasi berilmu dan berpengetahuan.

Pihak Perpustakaan UTM Kuala Lumpur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SMK Sungai Kertas, Gombak atas kunjungan yang telah diadakan. Semoga jalinan kerjasama dan hubungan baik ini dapat diteruskan pada masa akan datang.