KUALA LUMPUR, 17 September – Program BookSharing @UTMKL Siri 8 telah berlangsung melalui platform Facebook dan YouTube Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menampilkan Prof. Madya Ir. Dr. Rudzidatul Akmam binti Dziyauddin, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), sebagai pengulas jemputan. Sesi perkongsian pula dikendalikan oleh Puan Norfamieza binti Mohamed Fayli, Pembantu Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur selaku moderator.

Bagi sesi kali ini, buku pilihan yang dikongsikan ialah Think Again karya Adam Grant. Menurut pengulas, buku ini mendorong pembaca untuk melihat semula cara berfikir, khususnya dalam menghadapi dunia yang sentiasa berubah. Buku ini turut mengetengahkan kepentingan untuk berani mempersoalkan semula perkara yang dipercayai, bersikap terbuka terhadap pandangan yang berbeza serta bersedia mengakui kemungkinan bahawa sesuatu yang dipercayai sebelum ini mungkin tidak sepenuhnya tepat.
Antara perkara menarik dalam buku ini ialah Adam Grant membincangkan empat cara pemikiran, iaitu pendakwah, pendakwa raya, ahli politik dan saintis. Pendakwah cenderung mempertahankan kepercayaan yang dipegang, pendakwa raya pula mencari bukti untuk menyangkal pandangan pihak lain, manakala ahli politik cuba mempengaruhi orang lain untuk mencapai sesuatu hasrat.

Namun, pemikiran yang paling ditekankan ialah pemikiran sebagai seorang saintis. Saintis mempunyai hipotesis, tetapi tidak berpegang kepadanya secara mutlak. Sebaliknya, hipotesis itu diuji melalui pemerhatian dan eksperimen. Jika terdapat bukti yang lebih baik, kita bersedia untuk mengubah pemikiran kita.
Tambahan pengulas lagi, buku ini turut mengajar bahawa perbezaan pendapat sebenarnya sesuatu yang baik. Dalam perbincangan, sama ada di tempat kerja atau bersama keluarga, kita perlu belajar mendengar dan mencari persamaan sebelum menyuarakan pandangan. Adam Grant turut menekankan supaya kita bertanya “bagaimana?” dan bukannya hanya bertanya “mengapa?”. Soalan yang baik boleh membuatkan seseorang berfikir sendiri, berbanding kita terus memberitahu mereka bahawa mereka salah.

Sebagai kesimpulan, buku Think Again mengingatkan bahawa bukan sahaja hasil keputusan yang penting, tetapi juga proses kita berfikir dan membuat pertimbangan. Seperti yang ditegaskan oleh pengulas, “Kita tidak sepatutnya berpegang pada satu kepercayaan atau satu pendapat, sebaliknya kita hendaklah lebih berfikiran terbuka dan menerima serta meraikan pendapat orang lain supaya kita mencapai satu objektif dan hasil yang lebih baik.” Oleh itu, kita perlu sentiasa bersedia untuk think again, menerima perubahan dan terbuka kepada pembelajaran serta pandangan baharu.