KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Program BookSharing @UTMKL Siri 9/2026 yang berlangsung pada 29 Oktober 2026 menampilkan Cik Fatin Dalila binti Aznor Suandi, Guru Bahasa dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM Kuala Lumpur sebagai panel perkongsian buku Flowers for Algernon karya Daniel Keyes. Sesi yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan YouTube UTM Library ini dikendalikan oleh Puan Norfamieza binti Mohamed Fayli selaku moderator.

Novel ini mengisahkan Charlie Gordon, seorang lelaki berusia 32 tahun yang mempunyai ketidakupayaan intelektual dan bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kedai roti. Charlie mempunyai impian untuk menjadi lebih bijak agar dapat diterima dan dihargai oleh orang sekeliling. Impiannya mula berubah apabila beliau terpilih menjalani pembedahan eksperimen untuk meningkatkan kecerdasan manusia. Eksperimen tersebut sebelum ini telah berjaya dilakukan terhadap seekor tikus makmal bernama Algernon.

Menurut penyampai, antara keunikan novel ini ialah teknik penceritaannya yang menggunakan progress reports (laporan perkembangan) daripada sudut pandang Charlie sendiri. Melalui catatan tersebut, pembaca dapat mengikuti perubahan kecerdasan, pemikiran dan emosinya sepanjang eksperimen dijalankan. Perubahan gaya penulisan Charlie daripada catatan yang mempunyai banyak kesalahan bahasa kepada penulisan yang lebih matang turut menggambarkan peningkatan keupayaan intelektualnya.

Algernon pula memainkan peranan penting sebagai cerminan kepada perjalanan hidup Charlie. Kedua-duanya merupakan subjek eksperimen yang menjalani ujian kecerdasan. Apabila Algernon mula menunjukkan tanda-tanda kemerosotan, Charlie menyedari bahawa dirinya mungkin akan mengalami nasib yang sama. Perjalanan Algernon menjadi petunjuk awal kepada peningkatan dan kemerosotan kecerdasan Charlie.

Perkongsian ini turut mengetengahkan tema maruah dan nilai kemanusiaan, kesunyian, penerimaan diri serta etika dalam penyelidikan saintifik. Antara pengajaran yang boleh diambil ialah kepentingan menghormati individu, memahami perasaan orang lain dan tidak menilai seseorang berdasarkan kemampuan akademik atau kecerdasannya semata-mata.

Dalam perkongsian tersebut, panel turut menekankan bahawa tanggungjawab seorang pendidik bukan sekadar menilai prestasi seseorang pelajar, tetapi juga memahami individu dan cabaran yang mungkin dihadapinya. Hal ini mengingatkan kita bahawa setiap individu mempunyai kelebihan dan perjuangan tersendiri yang wajar dihargai.

Secara keseluruhannya, Flowers for Algernon merupakan sebuah karya yang menyentuh emosi dan memberikan perspektif mendalam tentang nilai kemanusiaan. Novel ini mengingatkan pembaca bahawa kecerdasan bukanlah ukuran utama nilai seseorang, sebaliknya kasih sayang, maruah, penerimaan dan hubungan sesama manusia merupakan aspek penting yang menjadikan kehidupan lebih bermakna.

Share this :
UTM Open Day