Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64, Perpustakaan UTM Kampus Pagoh telah berjaya menganjurkan program bicara karya bertajuk “Merungkai Sejarah Pagoh” pada 29 Ogos 2021. Program ini telah dijalankan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Perpustakaan UTM dengan menampilkan penulisnya sendiri iaitu Encik Azman Ab. Rahim @ Ibrahim dan berjaya meraih jumlah tontonan yang tinggi iaitu sebanyak 1,400 tontonan terkumpul sepanjang satu jam program ini disiarkan.


Encik Azman Ab. Rahim @ Ibrahim atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Azman merupakan anak jati kelahiran Pagoh. Beliau merupakan seorang guru yang kini mengajar di Sekolah Tinggi Muar, selain turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi, Warisan Pagoh Muar. Beliau merupakan seorang yang aktif dalam bidang penulisan dan telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku sejarah juga buku-buku ilmiah.

Menceritakan mengenai latar belakang penulisan buku ini, Cikgu Azman menyatakan bahawa Pagoh merupakan salah satu tempat yang sangat unik dan telah wujud lebih 500 tahun. Justeru itu, beliau telah mengambil inisiatif membentuk satu kumpulan penyelidikan bagi mendokumentasikan sejarah Pagoh dalam bentuk penulisan buku supaya generasi pada masa kini dan akan datang dapat merujuk serta menelusuri sejarah Pagoh.


Buku yang “Merungkai Sejarah Pagoh” ini mengambil masa selama dua (2) tahun untuk diterbitkan. Cikgu Azman turut berkongsi pengalaman beliau ke tempat-tempat bersejarah bersama kumpulan penyelidiknya bagi mengumpul dan mendapatkan maklumat sehingga sanggup merentasi Sungai Pagoh hingga ke penghujungnya serta meredah hutan belantara dan ke bumi Riau untuk mengumpul cebisan sejarah mengenai Pagoh.


Sebelum mengakhiri siri bicara karya ini, Cikgu Azman turut berkongsi dialek orang pagoh atau lebih dikenali sebagai bahasa Sungai Muar pada zaman dahulu. Ianya sangat unik apabila didengari kerana mempunyai lenggok bahasa yang tersendiri. Hasil dari kajiannya, beliau mendapati bahasa ini masih dituturkan oleh penduduk setempat di kawasan sungai Pagoh meskipun kurang berbanding dahulu.

Share this :