Perpustakaan UTM merupakan perintis kepada program perkongsian buku di UTM yang telah dianjurkan bermula pada tahun 2017. Oleh itu, berbekalkan pengalaman yang dikumpul, satu Bengkel Perkongsian Buku : Teknik Eksplorasi Buku Berkesan telah diadakan pada 6 Januari 2022 (Khamis) secara dalam talian menerusi platform digital Webex. Fasilitator ialah Puan Nurrull Huda binti Abdul Wahid, Pustakawan Kanan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan juga Penyelaras bagi Program Book Sharing@UTMKL. Seramai 30 orang peserta telah menyertai bengkel ini bagi mendapatkan ilmu dan tips untuk mengulas buku.

Antara objektif bengkel ialah:

  1. Memberi pendedahan kepada peserta berkaitan konsep Book Sharing@UTMKL yang memerlukan mereka untuk menjadi penyampai.
  2. Menerangkan pencarian buku melibatkan sumber bercetak dan elektronik daripada Portal Perpustakaan UTM dan sumber terbuka.
  3. Menyatakan kaedah pembacaan cepat dan berkesan untuk keperluan perkongsian buku.
  4. Merungkai tips untuk pengisian dan persembahan perkongsian buku yang menarik.

Di awal bengkel, peserta telah didedahkan dengan kepentingan dan tips minat membaca seterusnya kaedah pencarian bahan koleksi perpustakaan samada bercetak atau elektronik yang terdapat di Portal Perpustakaan UTM dan sumber terbuka menggunakan OPAC dan Pangkalan Data Atas Talian. Kaedah dan pencarian bahan diperluas kepada sumber elektronik terbuka yang lain seperti U-Pustaka, Okkbee dan Library Genesis bagi memberi pelbagai pilihan bahan bacaan. Penerangan mengenai tips pembacaan cepat dan pantas serta peta minda untuk pembacaan yang berkesan diberikan untuk memantapkan pemahaman pembacaan.

Tips mengulas buku dengan berkesan menggunakan slide infografik dan susunan gaya bahasa mampu menarik perhatian penonton untuk kekal fokus dari mula sehingga akhir sesi ulasan buku. Akhir sekali peserta diberikan penerangan mengenai penggunaan Streamyard di mana platform live streamyard ditunjukkan supaya peserta maklum terhadap paparan dan output yang akan di layarkan semasa siaran berlangsung secara live di Facebook.

Semoga perkongsian ini dapat menyuntik semangat serta memberi manfaat kepada semua perserta dalam membuat persediaan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan berdasarkan buku atau bahan bacaan yang terpilih dalam sesi perkongsian buku@UTMKL akan datang. Sehingga berjumpa lagi dan selamat maju jaya!

Share this :