Program BookSharing@UTMKL 2022 siri pertama ini telah diadakan pada Khamis 20 Januari 2022. Sebagai sesi pembukaan, tiga orang pelajar latihan industri telah dijemput sebagai pengulas iaitu Encik Ahmad Hasif Bin Suhaimi, Pusat Kecermerlangan Sukan, Cik Nur Syam Mahirah Binti Jilah, dan Cik Amira Binti Adini, dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Moderator ialah Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid, Pustakawan Kanan, UTM Kuala Lumpur.
Pengulas pertama ialah Encik Ahmad Hasif Bin Suhaimi berkongsi buku Kecergasan Fizikal ditulis oleh Mahamad Amran Kamsi. Buku ringkas tapi padat ini adalah berkaitan senaman untuk kecergasan fizikal manusia. Terdapat banyak manfaat yang diulas di dalam buku ini antaranya menguatkan lagi otot dan membantu membakar kalori dan kolesterol yang berlebihan dalam badan. Selain itu, buku ini turut berkongsi kebaikan senaman dalam membantu peredaran darah yang lebih baik dan beliau sempat berkongsi bagaimana untuk mengira kadar denyutan nadi dan melalui kiraan itulah kita boleh mengetahui samada badan kita berada dalam kondisi yang baik atau tidak. Secara kesimpulannya, pengulas mengatakan senaman adalah sebagai satu cara dalam memastikan tubuh badan kekal sihat. Namun dinasihatkan agar aktiviti senaman dilakukan dengan berhati-hati dan mengambil kira kemampuan diri.
Pengulas kedua iaitu Cik Nur Syam Mahirah Binti Jilah memilih buku Membuat Keputusan : Panduan Aplikasi Harian karya Ahmad Amin Mohamad Sulaiman. Buku ini memberi panduan untuk membuat sesuatu keputusan. Perancangan dan perlaksanaan dalam membuat keputusan perlu diuruskan dengan baik dan teliti. Secara kesimpulannya, buku ini amat membantu untuk membuat keputusan mengikut pelbagai cara yang berlainan mengikut situasi tertentu atau samada mengikut kajian saintifik mahupun dipengaruhi daripada keadaan sekeliling.
Pengulas ketiga iaitu Cik Amira Binti Adini memilih buku Teori Personaliti Dari Perspektif Islam, Timur & Barat yang ditulis oleh Shahabuddin Hashim dan Dr. Rohizani Yaakub. Buku ini membantu untuk mengenali diri sendiri dengan lebih baik melalui tujuh teori iaitu personaliti dan epistemologi ilmu dari perspektif Islam, teori personaliti menurut Zen Budhisme, teori personaliti menurut perspektif yoga, teori personaliti Sigmund Freud, teori personaliti Carl Jung, teori personaliti Karen Horney dan teori personaliti Alfrend Adler. Personaliti bagi setiap individu adalah berbeza dan ianya berdasarkan budaya dan kepercayaan. Teori psikologi yang telah didedahkan dapat membantu untuk mengenal pasti sifat, sikap, dan gaya dalam personaliti dapat memahami seseorang dengan lebih mendalam.