Program bicara karya dengan membawa judul “Ustazah Basikal: Nekad Ke Makkah” dan “Ustazah Basikal: Yakin Kerana Dia” telah dilaksanakan pada 26 Januari 2022 menerusi FB Live Perpustakaan UTM dan Youtube Library UTM TV. Penonton amat bertuah kerana panel jemputan adalah penulis buku ini sendiri iaitu Tuan Ahmad bin Isa yang juga merupakan Alumni UTM dan Ustazah Noradilah binti Mohd Sapie. Moderator program ialah Puan Nurfarain binti Daud dari Perpustakaan UTM.
Sebagai pengenalan, Tuan Ahmad menceritakan keinginan beliau untuk mengembara ke seluruh dunia dengan berbasikal kepada kedua ibu bapanya. Namun, ibunya meletakkan syarat di mana beliau perlu mengahwini Ustazah Adilah terlebih dahulu. Tuan Ahmad sangat beruntung apabila Ustazah Adilah turut berminat untuk mengikuti pengembaraan tersebut. Ustazah Adilah mengusulkan cadangan untuk menjadikan tanah suci Mekah sebagai destinasi terakhir mereka kerana keinginan Ustazah ke sana sejak usia muda lagi.
Pelbagai persiapan telah mereka lakukan sebelum memulakan pengembaraan bagi membina ketahanan fizikal dan mental seperti melakukan kayuhan di lebuhraya utara-selatan dan memanjat gunung. Mereka juga menyediakan contingency plan dengan mencari maklumat terperinci mengenai laluan yang mereka akan lalui seperti kedudukan hospital, kedutaan dan polis jika berlaku masalah semasa pengembaraan ini.
Kayuhan ini yang mengambil masa selama 15 bulan dengan merentasi 13 buah Negara seperti Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran, United Arab Emirated dan Arab Saudi banyak mengajar mereka untuk mempelajari hikmah dalam setiap perkara yang dihadapi. Pengembaraan ini diniatkan untuk mewujudkan silaturahim dan mengenal negara yang dilewati melalui kaca mata mereka sendiri.
Tuan Ahmad mengatakan “Hatta tanpa izin Allah, tiada daya dan kuasa untuk mereka melakukan walaupun satu kayuhan”. Setiap pengalaman yang dimiliki dan rintangan yang ditempuhi membuatkan mereka yakin kerana Dia pengembaraan ini berjaya dilakukan. Ustazah Adilah menutup program dengan mengatakan tidak kira di mana kita berada ”Kita adalah pengembara di bumi Allah” dan tujuan hidup adalah untuk masuk ke Syurga.