Aktiviti jilidan ialah kerja memperkukuh bahan perpustakaan yang dilakukan dengan menyusun dan melekatkan dengan kuat di antara dua kulit yang rata dengan menggunakan bahan jilidan yang bersesuaian (Portal Rasmi Perpustakaan Negara, 2019). Di Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia, aktiviti jilidan ini adalah di bawah Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan, Seksyen Pengurusan Koleksi. Objektif utama unit ini adalah untuk memastikan koleksi Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia sentiasa dipelihara dan diselenggara melalui proses pemuliharaan secara berkala dan terancang supaya ia kekal sebagai khazanah warisan intelek.
Antara koleksi bahan yang kerap diterima untuk proses penjilidan adalah seperti tesis, buku, majalah, dokumen kontrak, kertas soalan peperiksaan, fail, laporan tahunan, buletin perpustakaan dan keratan akhbar. Selain itu, bahan-bahan bacaan yang rosak juga diterima untuk proses penjilidan. Antara kerosakan yang dialami pada bahan-bahan bacaan ini adalah seperti kulit buku yang rosak, helaian muka surat hilang ataupun tercabut. Namun begitu, aktiviti penjilidan di Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan bukanlah terhad kepada membaiki bahan yang rosak sahaja, tetapi terlibat juga dalam membukukan setiap edisi naskhah mengikut tahun.
Terdapat seramai lima orang staf Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan yang diketuai oleh En Muhd Azmi Khalib, Pustakawan dibantu oleh Pn. Siti Zaleha Hj Samad, Pembantu Pustakawan Kanan, En. Abdul Hadi Taib, En. Mohd Izwan Isa dan Pn. Nor Atikah Ismail.
Antara jenis jilidan bahan yang dilakukan oleh staf Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan ialah jilid penuh, jilid separuh, jilid suku, jilid ringkas dan fail/screw rim binding. Jenis jilidan yang dilakukan bergantung kepada jenis kerosakan bahan yang diterima.
Bagi memastikan aktiviti jilidan dapat dilaksanakan dengan baik, peralatan dan mesin yang lengkap diperlukan mengikut jenis jilidan yang dibuat. Berikut adalah gambar peralatan dan mesin yang digunakan dalam proses kerja penjilidan di Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan :
Memandangkan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia sering menjadi tumpuan pelajar daripada Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta bagi menjalani latihan industri, Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan merupakan salah satu unit yang sering dikunjungi oleh pelajar yang menjalani latihan industri bagi merasai pengalaman menjilid bahan.
Pada tahun 2021, Bengkel Menjilid Bahan telah dilaksanakan sebanyak dua kali kepada pelajar latihan industri. Bengkel ini bertujuan memberikan pengalaman dan pendedahan kepada pelajar mengenai teknik proses pemuliharaan dan pembaikan buku, disamping memberi simulasi dan amali bagi tatacara baik pulih secara profesional.
Tambahan lagi, Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan giat merancang bengkel dan sesi perkongsian ilmu bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk merasai pengalaman dalam aktiviti jilidan. Melalui usaha ini, adalah diharapkan staf Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan akan sentiasa mendapat latihan yang bersesuaian bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan staf dan seterusnya meningkatkan lagi produktiviti serta kualiti dalam proses penjilidan bahan.