Program Bicara Karya pada sesi kali ini anjuran Perpustakaan UTM Kampus Pagoh telah membawakan tajuk yang menarik iaitu “KEKOK” dengan menjemput seorang panel, Tuan Akif Basri, seorang Psikologis Klinikal yang berdaftar dengan Malaysian Society of Clinical Psychology dan juga merupakan seorang pensyarah sambilan di UKM manakala moderator bagi program ini ialah Encik Muhammad Hazim bin Yusof, Pustakawan, UTM Kampus Pagoh. Program yang diadakan pada 19 April 2022 ini telah bersiaran secara langsung di laman Facebook Perpustakaan UTM dan juga di Youtube UTM Library TV.

Pada permulaan program, Tuan Akif Basri telah menerangkan bagaimana tercetusnya idea dalam pemilihan tajuk buku Kekok. Idea pemilihan tajuk buku ini bermula daripada pesakit Tuan Akif yang mengalami masalah komunikasi dengan ibunya. Dalam perbualan ibu pesakit tersebut dan Tuan Akif, mereka ada mengatakan bahawa kita perlu ada ‘empathy’, perlu banyak belajar, tetapi bagaimana kita nak ‘empathy’, bagaimana kita nak mendengar? Hasil daripada perbualan tersebut, Tuan Akif berkata, ada keperluan dan kelompongan yang perlu diisi iaitu menulis secara terperinci bagaimana hendak ber’empathy’, bagaimana hendak mendengar khususnya dalam konteks apabila orang meluah masalah, apa yang perlu kita buat supaya tidak kekok.


Tuan Akif menerangkan terdapat cabaran yang dihadapi apabila berkomunikasi secara maya iaitu cabaran dari segi akademik dan juga dari segi harian ataupun praktikal. Dari segi akademik, belum banyak kajian yang mendalam tentang ilmu komunikasi secara maya. Kajian-kajian di bawah tajuk Cyber Psychology dalam topik bagaimana hendak memahami psikologi manusia secara maya ini masih belum mantap. Cabaran dari segi harian atau secara praktikal pula ialah setiap orang berbeza dan ada cara tersendiri dalam mengekspresi diri dan bagaimana individu itu mentafsir mesej orang lain. Sebagai contoh, ada individu yang tidak kisah jika mesej atau WhatsApp yang dihantar tidak dibaca atau tidak dibalas. Ada juga individu yang sentiasa menunggu setiap mesej yang dihantar dan akan berasa cemas setiap kali mesej tidak dibalas. Penggunaan emoji juga mempengaruhi interpretasi individu terhadap seseorang.

Kemudian Tuan Akif juga menerangkan tentang Konsep Johari Window iaitu apa yang kita tahu tentang diri kita, dan apa yang kita rasa orang lain tahu atau tidak. Sebagai contoh, individu itu suka menggunakan emoji pada akhir perbualan di WhatsApp sebagai ekspresi dirinya yang senang, tetapi berkemungkinan penerima emoji tidak mengetahui apakah ekspresi yang dimaksudnya oleh penghantar. Ini kerana jenis respon adalah berbeza pada setiap orang dan ianya bergantung dengan siapa kita berinteraksi. Katanya lagi, kita perlu ada formaliti lebih-lebih lagi dengan individu yang baru kita kenal untuk mengekalkan hubungan dan kepercayaan sesama manusia dan individu.

Pada akhir perkongsian, Tuan Akif Basri berkata bahawa dalam setiap komunikasi maya, kita perlu pastikan keberadaan kita dapat dilihat oleh individu samada kita adalah seorang peluah atau menjadi seorang pendengar dengan cara kita sentiasa memberi respon yang baik untuk menunjukkan ‘empathy’ kita terhadap seseorang.

Untuk menonton semula rakaman program, sila ke pautan berikut:
Facebook: https://www.facebook.com/library.utm/videos/529746798693631
YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=ovpN7vtuoWs

Dapatkan buku “Kekok” di sini http://bit.ly/BukuKekok

Share this :