Program bicara karya yang diadakan khas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini mengetengahkan dua orang ahli panel yang tidak asing lagi iaitu Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Mantan Naib Canselor UTM dan juga Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM. Moderator bagi Program yang diadakan pada 9 Jun 2022 (Khamis) jam 3.00 petang  kali ini adalah Prof. Dr. Kassim Thukiman, Profesor dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia & Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

Bertajuk Preview UTM Penyelidikan Berimpak Mensejahtera Masyarakat, panel pertama iaitu Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar memulakan program dengan menjelaskan tentang peranan universiti khususnya UTM sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan dan bagaimana penyelidikan-penyelidikan yang dilaksanakan seharusnya memberikan impak yang tinggi kepada masyarakat dan juga negara. Hal ini beliau merujuk kepada buku yang sedang dibicarakan bertajuk UTM: Penyelidikan Berimpak Mensejahtera Masyarakat di mana ia melibatkan himpunan 14 penyelidikan yang telah dilaksanakan di bawah nama Universiti Teknologi Malaysia.

 

Panel yang kedua iaitu Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM pula menerangkan tentang pengalaman beliau selaku salah seorang individu yang dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Perpustakaan UTM untuk memulakan pengumpulan bahan bagi penulisan buku ini di mana ia melibatkan beberapa orang Pegawai Penyelidik di bawah UTM Research Alliances. Untuk memilih hasil penyelidikan yang berkait rapat impaknya dengan masyarakat, CCRIN UTM menjadi tempat rujukan utama Perpustakaan UTM di mana mereka bertanggungjawab menyenaraikan dan memilih beberapa penyelidikan yang dekat dengan masyarakat dan juga memiliki ‘star rating’ yang tinggi. Beliau juga menyatakan bahawa projek penerbitan buku ini telah dimulakan seawal tahun 2019 dan berlaku sedikit kekangan akibat daripada tercetusnya pandemik COVID-19. Akhirnya pada tahun 2022, buku tersebut berjaya diterbitkan.

Seterusnya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar juga menerangkan dengan panjang lebar tentang kaitan di antara slogan UTM iaitu Kerana Tuhan Untuk Manusia dengan penerbitan buku ini. Hal ini kerana secara umumnya, Dr. Wahid Omar berpendapat bahawa masyarakat masih belum begitu jelas tentang peranan universiti secara langsung dalam kehidupan masyarakat. Beliau juga menyatakan bahawa cerita-cerita tentang universiti yang tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat adalah tidak semuanya benar. Justeru, sesuatu perlu dilakukan dan buku yang diterbitkan ini sedikit sebanyak dapat menepis dakwaan tersebut. Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa gaya bahasa penulisan buku ini adalah mesra umum di mana ia tidak terlalu bersifat teknikal dan ilmiah yang sukar difahami pembaca umum yang tidak terdedah dengan dunia penyelidikan. Selain itu, penerbitan buku ini juga adalah bertepatan dengan peranan Perpustakaan UTM selaku ‘knowledge custodian’ dan pentingnya penyebaran ilmu-ilmu tersebut kepada masyarakat supaya masyarakat lebih menghargai ilmu pengetahuan.

Puan Khairulbahiyah Yaakub juga menerangkan tentang beberapa contoh penyelidikan yang telah dimuatkan di dalam buku tersebut di mana kesemuanya amat memberikan impak dan perubahan kepada kehidupan masyarakat atau kelompok komuniti yang menjadi sasaran penyelidikan tersebut di mana ia sekaligus membuktikan bahawa penyelidikan di universiti bukanlah sekadar penyelidikan ‘syok sendiri’ dan tidak membawa apa-apa manfaat kepada masyarakat.

Selanjutnya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar juga berpendapat bahawa penerbitan buku tersebut secara tidak langsung memberi gambaran jelas bahawa universiti hakikatnya sentiasa dekat dengan masyarakat dan juga sentiasa membantu untuk menyelesaikan isu-isu masyarakat yang terkait dengan beberapa cabang penyelidikan. Menurut beliau, buku ini juga mungkin akan dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak yang skeptikal dengan penerbitannya, ditambah pula ia diterbitkan dalam Bahasa Melayu. Namun begitu, beliau yakin secara beransur-ansur, buku ini akan menjadi wadah yang menghubungkan masyarakat dengan dunia penyelidikan melalui pendekatan penulisan yang mudah berbanding tulisan berbentuk ilmiah dan penuh dengan istilah teknikal penyelidikan yang mungkin tidak begitu mesra di telinga masyarakat umum.

Seterusnya, Puan Khairulbahiyah turut menegaskan bahawa usaha penerbitan buku ini adalah bukti bahawa Perpustakaan UTM bukan sekadar menjaga buku-buku, malahan secara jelas bahawa Perpustakaan UTM dan para pustakawannya adalah penjaga kepada ilmu pengetahuan. Dan menterjemahkan pengumpulan ilmu pengetahuan dalam bentuk penerbitan buku seperti ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan, meskipun berdepan dengan kesusahan dan kepayahan. Di samping itu, Puan Khairulbahiyah juga memaklumkan bahawa buku tersebut boleh diperoleh di Penerbit UTM Press.

Kesimpulannya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berpendapat bahawa usaha penerbitan buku ini adalah perlu digerakkan dan tidak perlu menunggu orang lain memulakannya. Kerana apabila ia telah diterbitkan, secara tidak langsung impak satu-satu penyelidikan itu dapat difahami oleh masyarakat dan sedikit sebanyak masyarakat boleh tahu bahawa sesuatu masalah itu tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata, sebaliknya ia menuntut kajian yang teliti dan langkah-langkah penyelesaian secara beransur-ansur kerana penyelidik bukan ahli silap mata. Di samping itu, Puan Khairulbahiyah Yaakub pula berharap agar buku ini dapat sampai kepada masyarakat umum dan penghayatan ilmu dapat disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Share this :