Program Read & Relax Perpustakaan UTM Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah bagi siri kelapan telah diadakan pada Khamis, 16 Jun 2022. Tetamu istimewa pada program ini adalah Encik Danial Iskandar Jafridin, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan Kemahiran Hidup dan Encik Muhammad Hakim Mohd Zain, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum. Moderator pada kali ini adalah Cik Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah, Mantan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM.
Pengulas pertama, Encik Danial Iskandar Jafridin telah memilih buku Menghayati Budaya Ilmu yang telah dihadiahkan kepada beliau oleh seorang pegawai hal ehwal pelajar, UTM. Buku Menghayati Budaya Ilmu adalah hasil penulisan mantan Naib Canselor UTM iaitu Dr. Zaini Ujang dan menerangkan tentang konsep ilmu, menyuburkan ilmu dan kaedah-kaedah untuk menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang serta sasaran yang ingin dicapai oleh setiap mahasiswa iaitu hari konvokesyen. Hasil daripada bacaan beliau buku Menghayati Budaya Ilmu ini memperincikan tentang makna dan budaya ilmu, di samping menerangkan tentang sejarah universiti di Malaysia. Penulis juga memperincikan tentang kaedah untuk menjadi seorang mahasiswa cemerlang.
Menurut pengulas, bab yang memberikan impak pembacaan adalah bab lima yang berjudul Mahasiswa Cemerlang di mana ia memperincikan tentang panduan-panduan untuk menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang. Beberapa elemen diketengahkan seperti pengurusan masa yang optimum, menjaga integriti sebagai seorang mahasiswa, meningkatkan kemahiran insaniah, pembelajaran berkesan, penglibatan di dalam aktiviti di kolej kediaman, kemahiran membaca, keprihatinan sosial, menjana minda kreatif dan inovatif dan tabiat membaca. Selain itu, pengulas menyatakan bahawa terdapat banyak pengajaran yang boleh diperoleh daripada pembacaan buku ini. Namun, pengulas menyimpulkan pengajaranyang utama ialah kesungguhan mahasiswa dalam mencari ilmu. Pengulas menyatakan bahawa seorang mahasiswa itu perlu sentiasa berusaha untuk mencari ilmu dan menggunakan segala peruntukan kemudahan yang ada di dalam kampus untuk meraih manfaat daripadanya. Segala kemudahan yang disediakan untuk mahasiswa adalah untuk dimanfaatkan dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mahasiswa dalam banyak bidang atau kemahiran sekaligus cemerlang sebagai seorang mahasiswa. Pengulas menyatakan bahawa seorang mahasiswa perlu membaca buku ini kerana ia boleh dijadikan perangsang kepada mahasiswa untuk sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu di dalam diri masing-masing.
Buku ini padat dengan istilah-istilah pendidikan yang jarang diketahui oleh pengulas dan sangat bagus dalam meningkatkan pengetahuan perbendaharaan istilah pengulas di samping menyatakan bahawa buku ini mudah difahami dan sesuai dibaca oleh umum. Akhir sekali, pengulas menyatakan bahawa budaya ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan seorang mahasiswa, dan elemen terpenting dalam membudayakan ilmu ialah membaca. Hal ini kerana dengan membacalah sesuatu ilmu itu dapat diperoleh.
Program diteruskan dengan pengulas kedua, Encik Muhammad Hakim Mohd Zain bersama bukunya yang bertajuk Pendiam?. Menurut pengulas, bahan tersebut dihadiah kepada pengulas melalui seorang rakannya berdasarkan minatnya terhadap penulis buku tersebut. Buku ini memperincikan tentang tiga bentuk personaliti yang dimiliki oleh manusia iaitu introvert, extrovert dan juga ambivert di mana ketiga-tiga bentuk personaliti adalah berbeza di antara satu sama lain. Buku ini memberikan informasi menyeluruh tentang tiga jenis personaliti yang dimiliki oleh setiap manusia iaitu sama ada introvert, extrovert dan ambivert. Setiap satu daripada personaliti tersebut memiliki ciri-cirinya yang spesifik dan sering disalahfahami oleh masyarakat dalam menilai seseorang individu, terutamanya seorang individu yang pendiam di mana mereka sering dipandang negatif. Penulis buku ini cuba untuk mengubah persepsi pembacanya dengan melihat jauh lebih dalam jenis-jenis personaliti ini dan cuba untuk mengurangkan elemen menghukum tanpa memahami oleh para pembacanya.
Selain itu, pengulas menyatakan bahawa bab lima adalah menjadi kegemarannya iaitu Ubah Personaliti, Bolehkah? Di dalam bab tersebut, penulis menyatakan bahawa personaliti seseorang itu tidak boleh diubah, sebaliknya boleh ditambah baik dengan kaedah yang tepat. Sebagai contoh, pengulas menyampaikan tentang kaedah yang digariskan untuk personaliti introvert dalam menerima tugasan yang memerlukan dirinya untuk berhadapan dengan orang ramai, seperti introvert perlu perancangan yang teliti sebelum memulakan tugasan yang melibatkan penglibatan khalayak ramai, membiasakan bercakap di hadapan sekumpulan individu yang selesa bersama kita ataupun di hadapan cermin dan berusaha untuk mengubah atau memperbaiki tingkahlaku berbanding bersusah-payah untuk mengubah personaliti supaya dapat disesuaikan dengan khalayak yang ingin kita sertai. Pengulas menyatakan bahawa terdapat kata-kata hikmah yang menarik dan memberi impak kepada dirinya iaitu ‘tidak ada salahnya untuk menjadi diri sendiri. Malah itulah sebaiknya. Usah lagi memakai topeng dan menipu diri. Mari berbangga dengan identiti sendiri kerana kita semua unik dan berbeza’. Menurut pengulas, kata-kata tersebut meninggalkan kesan kepada dirinya di mana ia menyedarkan pengulas bahawa setiap manusia itu sememangnya dilahirkan dengan personaliti yang berbeza. Tiada keperluan untuk meniru orang lain sehingga menenggelamkan potensi yang ada pada diri sendiri.
Selain itu, buku ini boleh memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pembaca sekiranya mereka memiliki anak namun seakan-akan gagal dalam memahami personaliti mereka, kerana memahami sebelum menghukum adalah penting dalam proses pembentukan personaliti anak-anak dan kelak akan mempengaruhi kedudukan mereka di dalam masyarakat. Akhir kata daripada pengulas setiap manusia dengan personaliti yang berbeza itu adalah berharga dan mempunyai keupayaan dan kelebihan tersendiri yang tidak ada pada orang lain. Justeru, tidak perlu merasa lebih rendah daripada orang lain dan malu dengan diri sendiri kerana setiap apa yang ada pada diri kita itu adalah kurniaan yang pasti tidak sia-sia seandainya dihargai.