Program Bicara Karya anjuran Jabatan Perpustakaan UTM telah diadakan pada 29 Jun 2022 melalui medium Facebook Perpustakaan UTM serta Youtube UTM Library. Program kali ini membicarakan tentang sebuah buku yang berjudul “Malaysian Land Law & Procedure” yang telah disampaikan oleh Dr. Noorfajri bin Ismail, Alumni UTM dan moderator program ialah Puan Nurfarain binti Daud dari Perpustakaan UTM.
Buku undang-undang ini memperincikan tentang undang-undang tanah di Malaysia dan ianya cetakan terkini pada Januari 2022 oleh Sweet & Maxwell (Thomson Reuters Asia) dan ditulis oleh Ainul Jaria Maidin dan Sharifah Zubaidah Syed Abdul Kader. Buku ini mengandungi 700 halaman bercetak dan diterbitkan dalam dua cetakan iaitu cetakan kulit keras dan cetakan edisi pelajar .
Secara umumnya, Dr. Noorfajri menerangkan bahawa penulis telah menghuraikan undang-undang tanah di Malaysia secara jelas dan komprehensif. Penerangan dalam konteks Kanun Tanah Negara 1965 terutamanya selepas pindaan terbaharu iaitu Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 200 (Akta 828). Buku ini juga membincangkan tentang sistem pendtadbiran tanah di Malaysia yang berasaskan sistem ‘torren’. Ia turut merujuk kepada beberapa kes penghakiman mahkamah yang berkait dengan pentadbiran tanah negara.
Sistem Torrens adalah sistem pentadbiran tanah berasaskan pendaftaran di mana ia diperkenalkan di Australia oleh Sir Richard Torrens. Secara umumnya, sistem tersebut mula digunapakai di Negeri-negeri Melayu Bersekutu di bawah beberapa kategori iaitu General Land Regulations (1879-1888 FMS), Registration of Titles Regulations (1891-1898 FMS), FMS Land Enactments 1911 dan FMS Land Code 1926 (wef 1928). Undang-undang ini kemudiannya dituruti dengan penggubalan Kanun Tanah Negara yang bermula pada tahun 1955 sebelum ia dikuatkuasakan pada 1 Januari 1966.
Seterusnya, Dr. Noorfajri turut menghuraikan ciri-ciri penulisan buku ini di mana ia memberikan penerangan yang jelas dan terkini berkaitan konsep dan prinsip dalam pentadbiran undang-undang tanah dan prosedur yang terpakai di seluruh Semenanjung Malaysia. Beliau juga menerangkan bahawa buku ini juga turut memperincikan tentang ciri-ciri utama undang-undang tanah dan membincangkan perkembangan perundangan dan kes-kes mahkamah terkait dengan undang-undang tersebut. Di dalam buku ini juga turut dimuatkan pelbagai contoh, petikan, diagram dan sampel dokumen berhubung konsep dan prinsip perundangan tanah. Lebih menarik lagi, penulis buku ini turut menyediakan analisis berkaitan keputusan mahkamah terhadap satu-satu kes yang melibatkan undang-undang tanah di mana membolehkan pembaca mendapat gambaran sebenar bagaimana perundangan tanah diaplikasikan di dalam kes-kes tersebut.
Buku ini mengandungi tujuh belas bab. Antara bab yang terkandung dalam buku ini adalah Evolusi Sistem Pentadbiran Tanah di Semenanjung Malaysia, Sistem Torrens dan Aplikasinya di Semenanjung Malaysia, Konsep Asas Harta Tanah, Takat dan Keadaan Penggunaan Tanah, Hak dan Kuasa Pihak Berkuasa Negeri, Perlindungan Hak Tidak Berdaftar dan Boleh DiDaftarkan, Urusniaga dan Pendaftaran Urusniaga, Hakmilik dan Kepentingan yang Tidak Boleh Disangkal, Urusniaga Pindahmilik Ketuanpunyaan dan Kepentingan pada Tanah, Pajakan dan Penyewaan, Isemen, Sekuriti Urusniaga Tanah atau Pajakan, Tanah Rezab Melayu (Bahagian 1), Tanah Rezab Melayu (Bahagian 2), Pengambilalihan Tanah Secara Wajib, Hakmilik Strata dan Pembangunan Tanah.
Secara keseluruhannya, kesemua bab yang terkandung di dalam buku ini dijelaskan oleh pengulas secara ringkas dengan beberapa contoh projek pembangunan tanah yang juga secara tidak langsung melibatkan aplikasi perundangan tanah yang terperinci serta keperluan untuk memahami fungsinya secara menyeluruh di samping memberi kefahaman kepada kita bahawa pentadbiran tanah di Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah kerana ia hakikatnya melibatkan proses teknikal yang saling berkaitan di antara undang-undang, sejarah setempat, teknologi pembinaan dan juga sentimen masyarakat setempat berkaitan dengan pembangunan tanah.