Program Librarian’s Talk anjuran Perpustakaan UTM telah diadakan pada 25 Julai 2022 secara langsung melalui Facebook Perpustakaan UTM dan Youtube UTM Library TV. Program siri ke enam kali ini menampilkan Cik Haslina binti Othman, Timbalan Ketua Pustakawan, Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi, Perpustakaan UTM selaku panel dan Puan Zafarina binti Dol, Ketua Seksyen Penyelidikan, Perpustakaan UTM selaku moderator. Program berlangsung selama satu jam berkongsi hala tuju bagi memperkasa Ilmu Pengetahuan Institusi UTM dan pengalaman panel di bahagian tersebut.

Panel memulakan perkongsian dengan pengenalan mengenai definisi Knowledge Management (KM) dan definisi Ilmu Pengetahuan. Definisi Ilmu Pengetahuan terdiri daripada explicit knowledge dan tacit knowledge. Explicit knowledge bermaksud pengetahuan yang boleh dikumpulkan, disimpan dan dikongsi kepada individu seperti contoh laporan, rekod dan dokumen. Tacit knowledge pula adalah pengetahuan yang tidak boleh disimpan dan sukar untuk disimpan mahupun disampaikan. Seperti contoh kemahiran, anekdot peribadi dan kebijaksanaan berasaskan intuisi. Bentuk pengetahuan ini biasanya dikongsi melalui bimbingan dan latihan.

Kemudian beliau memberi penerangan mengenai bahan koleksi khas yang berada di Perpustakaan UTM. Bahan koleksi khas UTM merupakan bahan berkaitan UTM, diterbitkan atau dikeluarkan oleh mana-mana fakulti, sekolah dan jabatan di UTM dan ditulis oleh warga UTM yang terdiri daripada pelajar dan staf. Ini termasuklah penerbitan mengenai UTM yang diterbitkan melalui penerbit luar. Bahan-bahan terdiri bahan bercetak dan tidak bercetak seperti artifak serta digital, bahan media serta bahan khas lain.

Seterusnya, beliau berkongsi mengenai peranan dan fungsian Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi, Perpustakaan UTM. Terdapat dua seksyen yang menjalankan fungsian bahagian tersebut iaitu Seksyen Galeri dan Seksyen Koleksi Khas & Repositori. Aktiviti utama kedua-dua seksyen turut diterangkan bagi memberi pemahaman yang jelas kepada penonton. Pemerkasaan koleksi khas UTM akan terus dilaksanakan bagi menjaga khazanah UTM supaya dapat dimanfaat di masa akan datang.

Terdapat juga isu dan cabaran yang dihadapi seperti SOP dan teknikal, persekitaran dan kepakaran. Panel merumuskan, bahawa pemerkasaan dan pengurusan ilmu pengetahuan dapat meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan, membantu organisasi dalam peningkatan inovasi, meningkatkan kecekapan organisasi dan juga meningkatkan produktiviti. Semoga perkongsian ini dapat memberi pengetahuan kepada penonton khususnya warga UTM dalam memelihara dan memulihara khazanah yang terdapat di UTM.

Share this :