Program Bicara Karya kali ini berjudul “MAIN DAN CAKAP” dan telah disiarkan secara langsung pada 16 Ogos 2022 menerusi FB Live Perpustakaan UTM dan Youtube Library UTM TV. Panel jemputan adalah merupakan penulis buku dengan judul yang sama iaitu Puan Aisyah Rozalli. Program ini telah dikendalikan oleh Puan Syaza Soraya Sauli selaku moderator dari UTM Toastmasters Club, Pelajar PhD Psikologi Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

Sebagai pengenalan, Puan Aisyah merupakan seorang yang berpengalaman selama lebih 12 tahun sebagai Pediatrik Occupational Therapist di GymCademy: Pusat Terapi & Perkembangan Kanak-kanak Melaka dan beliau juga telah menulis beberapa buah buku sebelum ini. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan OT Aisyah juga adalah seorang pempengaruh sosial (Social Influencer) yang terkenal di Facebook dan pernah membuat perkongsian dalam rancangan Assalamualaikum di TV Al-Hijrah.


Menurutnya, inspirasi untuk menulis buku ini adalah kerana beliau sering menerima pelbagai soalan tentang speech delay dan juga masalah komunikasi berkaitan kanak-kanak. Selepas beberapa tahun, beliau mencari pasangan untuk menjadi penulis bersama bagi sama-sama bergabung dalam memberi idea dan berkongsi pengalaman untuk memberi perkongsian kepada ibu bapa dan akhirnya beliau berjumpa dengan ST Muizah. Gandingan bersama mereka telah memberi maklumbalas positif daripada ibu bapa dan seterusnya mereka mengambil keputusan untuk menulis buku untuk panduan ibu bapa bagaimana mengurus anak-anak yang menghadapi masalah speech delay.

OT Aisyah menyatakan bahawa kanak-kanak yang mengalami kelewatan bercakap semakin meningkat seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan salah satu punca adalah disebabkan oleh penggunaan  gajet yang tidak terkawal. Secara fisiologi, jika anak yang tidak mengalami sebarang kecelaruan di dalam pemprosesan sensori, tiada kecelaruan pemprosesan di dalam otak,  mereka tetap boleh berkembang secara normal. Justeru itu tambah beliau, jika dilihat anak-anak sekarang, mereka berisiko untuk mempunyai kecelaruan agak tinggi kerana mereka tidak didedahkan dengan apa yang sepatutnya didedahkan semasa usia mereka masih kecil. Ini kerana apa yang dilihat, apa yang mereka main dan apa yang mereka tonton adalah tidak sama dengan apa yang kita lihat dan tidak sama dengan apa yang kita tonton. Anak-anak ini tidak bergerak seperti mana kita bergerak.


Ini juga disebabkan oleh keadaan persekitaran pada zaman sekarang yang tidak selamat seperti zaman dahulu. Virus dan penyakit pada zaman sekarang juga salah satu punca ibu bapa tidak menggalakkan mereka bebas bergerak dan melakukan aktiviti luar. Akibatnya, anak-anak ini kurang rangsangan. Beliau berkata lagi, lebih 80% daripada mereka menerima rangsangan daripada gajet dan sememangnya berisiko untuk mendapat kelewatan dalam kemahiran sosial dan komunikasi mereka.

OT Aisyah berkata lagi, kesan daripada pendedahan gajet ini, anak-anak juga tidak dapat belajar dengan orang lain. Segala maklumat yang diterima hanya disimpan di dalam otak mereka. Katanya, anak yang berumur 1 tahun  perlu ada sekurang-kurangnya 50-100 patah perkataan yang tersimpan dalam kepala mereka. Seiring dengan usia anak, jika anak berusia 3 tahun, anak itu perlu bercakap 3 patah perkataan dalam satu ayat. Anak-anak yang berusia 4-5 tahun, mereka seharusnya sudah boleh bercakap mengikut patah perkataan dan boleh menjawab soalan.


Peranan ibu bapa sangat besar dalam melihat perkembangan anak-anak. Ibu bapa perlu membuat pemerhatian selama 10-15 minit setiap hari khususnya semasa anak-anak bermain. Jika pada usia 1 tahun anak tidak pernah memberi eye contact dan tidak memberi maklumbalas apabila dipanggil, ibu bapa perlu membawa anak tersebut berjumpa doktor pakar untuk membuat pemeriksaan lanjut supaya dapat mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memantau perkembangan anak dengan lebih serius.

Isu speech delay atau kelewatan dalam bercakap bukanlah satu penyakit, namun jika tiada intervensi awal atau tindakan daripada ibu bapa, ia akan menyebabkan masalah yang lebih serius terhadap perkembangan anak-anak tersebut.

Anda boleh tonton semula program ini di Facebook dan YouTube Perpustakaan UTM:
Facebook: https://www.facebook.com/library.utm/videos/390293633236970
YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=pyMPUkhwcX0

Share this :