Program Read & Relax Siri 15 kali ini diadakan secara atas talian dengan sinergi bersama UTM Toastmasters Club pada 8 September 2022 (Khamis) dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Dua orang ahli panel pengulas iaitu Cik Yasotha Arumugam, Limelight Artistry Resources, Johor Bahru dan En. Khalid Idris, Konfederasi Bolasepak Asia, Kuala Lumpur.
Pengulas pertama Cik Yasotha Arumugam telah memilih bahan bacaannya yang berjudul Atonement karya Ian Mcewan manakala En. Khalid pula telah memilih bahan bacaan berjudul Upih (Sepilihan Anekdot Siri 1) karya En. Khalid Idris sendiri bersama-sama dengan 39 orang penulis yang lain.
“Atonement” adalah sebuah novel yang ditulis oleh pengarang British iaitu, Ian McEwan dan diterbitkan pada tahun 2001. Buku itu mendapat sambutan hangat dan telah menjadi antara 100 novel berbahasa Inggeris terhebat sejak 1923 oleh majalah Time. Pada tahun 2007, buku itu telah dijadikan filem terkenal dengan nama yang sama yang telah dicalonkan untuk kedua-dua Anugerah Akademi dan Anugerah BAFTA British.
Tema utama novel ini ialah tentang pengakuan kesilapan yang dilakukan oleh masa lalu seseorang. Ia berlatarkan di kawasan luar bandar Inggeris pada pertengahan tahun 1930-an dan berkisar tentang tuduhan rogol palsu yang dibuat terhadap seorang lelaki bernama Robbie Turner oleh seorang gadis muda bernama Briony Tallis. Briony melihat Robbie telah tersalah menganggap bahawa Robbie telah menyerang kakaknya, Cecilia. Kemudian, apabila sepupu keluarga itu dirogol, Briony memberitahu polis bahawa Robbie yang melakukan serangan itu dan dia ditangkap atas kenyataan yang diberikan oleh Briony. Kakak Briony, Cecilia, yang menyayangi Robbie, mempertahankannya dan kemudiannya berpisah dengan keluarganya kerana marah apabila keluarganya memihak kepada Briony.
Akibat daripada insiden tersebut, Robbie dipenjarakan selama 3 tahun, selepas tempoh tersebut, dia bersetuju untuk ditugaskan menyertai peperangan supaya dia boleh segera menamatkan saki-baki masa hukumannya. Sementara itu, Briony menjadi jururawat di London dan terputus hubungan dengan kakaknya, yang tidak pernah memaafkannya kerana menuduh Robbie. Akhirnya, Briony telah terlambat menyedari bahawa Robbie tidak bersalah atas kejadian rogol tersebut dan merasakan bahawa tiada apa yang boleh dia lakukan untuk membetulkan perkara itu dan dia mesti menebus dosanya dengan cara yang sukar.
Di penghujung novel, pembaca dibawa ke tahun 1990-an iaitu ketika Briony telah menjadi seorang wanita tua. Dia telah menjadi seorang pengarang yang berjaya dan mendedahkan bahawa Cecilia dan Robbie kedua-duanya mati dalam perang tanpa dia dapat meminta maaf kepada mereka. Dia berhasrat untuk menulis kisah benar tentang apa yang berlaku pada malam malang itu pada tahun 1935 dalam sebuah buku dan menerbitkannya sebagai bentuk penebusan dosanya.
Buku yang kedua iaitu Upih (Sepilihan Anekdot Siri 1) adalah merupakan sebuah buku yang mengumpulkan anekdot-anekdot yang ditulis oleh seramai 39 orang penulis, termasuklah ahli panel sendiri. Pengisian buku ini adalah tertumpu kepada penceritaan pengalaman para penulis ketika menikmati usia kanak-kanak yang penuh dengan ragam dan peristiwa menarik. Emosi penceritaan yang disampaikan adalah pelbagai iaitu gembira, lucu dan sedih. Setiap kisah yang diceritakan adalah pendek sahaja, sesuai dengan temanya iaitu anekdot. Setiap satu cerita yang disampaikan memiliki pengajaran yang tersendiri yang boleh diambil oleh para pembaca.
Apa yang menarik tentang anekdot ini, meskipun ia adalah kisah silam, sedikit sebanyak ia tetap memiliki persamaan dari segi reaksi emosi pembaca masakini. Latar kisah yang berbeza sering menemukan reaksi emosi yang hampir sama, kerana sifat manusia itu sendiri kebanyakannya mengulang-ulang perbuatan orang-orang terdahulu. Kerana itulah buku seperti ini amat menarik untuk dibaca sebagai bacaan santai namun tetap memberikan pengajaran yang baik kepada kita.