Program Read & Relax Siri 10/2022 ini telah disiarkan di laman FB Perpustakaan UTM pada 14 Julai 2022 dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Dua orang ahli panel jemputan ialah Dr. Ahmad Faiz Mohammad, Pensyarah Kanan dari Malaysian-Japanese International Institute of Technology (MJIIT) dan Mohammad Ridhwan Reyaz Ahmad, pelajar PhD dari Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains UTM.
Lokasi pilihan siaran program kali ini diadakan di luar bangunan Perpustakaan UTM di mana ia telah berlansung dari Richiamo Coffee UTM Skudai, sekaligus membawa ‘vibe’ coffee talk seperti yang ditayangkan di siaran televisyen.
Dr. Ahmad Faiz telah memilih sebuah buku berjudul Successful Aging karya Daniel J. Levitin manakala Mohammad Ridhwan pula telah memilih sebuah buku berjudul The Innocents Abroad karya penulis terkenal Amerika iaitu Mark Twain.
Successful Aging merupakan sebuah buku yang ditulis oleh seorang ‘neurologists’ yang memperincikan tentang bagaimana seseorang itu menginjak ke usia tua dalam keadaan baik iaitu sihat tubuh badan dan minda. Di sebalik kebiasaan manusiawi bahawa usia tua sering dikaitkan dengan penyakit dan kurangnya potensi tubuh badan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak, namun penulis buku ini telah mengetengahkan beberapa siri kaedah yang berlandaskan bukti-bukti saintifik bahawa menginjak ke usia tua itu adalah sesuatu yang mengujakan dan boleh menjadi suatu pengalaman baru yang sangat menyeronokkan. Justeru mengetepikan terus idea di mana menjadi seorang tua itu seharusnya sinonim dengan kesedihan dan kehibaan.
Buku ini juga boleh dikatakan mencetuskan idea yang bersifat revolusionari terhadap pelan kehidupan tua kita sama ada sebagai seorang individu, ahli keluarga atau sebagai seseorang yang hidup bermasyarakat itu sendiri.
The Innocents Abroad karya Mark Twain pada asalnya menurut sangkaan panel pengulas adalah sebuah novel, sebaliknya ia lebih bercorak biografi atau catatan peribadi penulisnya sendiri dimana ia mengenai pengembaraan beliau sekitar tahun 1800-an dahulu ke merata Eropah sebelum sampai ke Jerusalem atau Bailtulmaqdis.
Seakan-akan buku travelog untuk pembaca moden, buku ini adalah catatan pengembaraan penulisnya yang telah belajar selama lebih 5 bulan dengan kapal USS Quaker City. Menariknya tentang buku ini ialah bagaimana Mark Twain mengulas atau menceritakan tentang dirinya berhadapan atau bertembung dengan budaya-budaya asing bagi dirinya dan sudut pandangnya tentang satu-satu lokasi yang disinggahinya dengan sejarah yang pernah diangkat sama ada canggung atau terlalu berlebih-lebihan.
Menurut pengulas juga, catatan pengembaraan Mark Twain ini juga lebih bersifat ‘excursion’, atau dalam erti kata lain bukanlah sebuah pengembaraan yang hendak mencari makna baru kehidupan atau segah Ibnu Battutah, sebaliknya sekadar kembara santai yang telah dibukukan oleh seorang penulis terkenal.