Program pembudayaan ilmu Perpustakaan UTMJB bagi tahun 2023, dimulakan dengan sesi Read & Relax Siri 1 yang telah disiarkan secara langsung dari bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Sesi pada kali ini telah menjemput dua orang ahli panel yang terdiri daripada pelajar praktikal dari Universiti Teknologi Mara iaitu Cik Nurin Faqhira Mohd Hanif dan Cik Aida Nadhirah Rodzuan. Moderator bagi sesi kali ini ialah Encik Nor azhar Nasrudin dari Perpustakaan UTM. Cik Nurin Faqhira telah memilih bahan bacaan berjudul ‘Arkitek Jalanan’ manakala Cik Aida Nadhirah telah memilih bahan bacaan berjudul ‘Minimalis’.
‘Arkitek Jalanan’ adalah hasil karya daripada seorang penulis yang telahpun menempa namanya di persada penulisan buku tempatan melalui karya ‘Pelukis Jalanan’ iaitu Teme Abdullah. Menurut pengulas, buku Arkitek Jalanan ini adalah kesinambungan daripada buku Pelukis Jalanan tersebut.
Arkitek Jalanan membawa kisah tentang penulisnya sendiri bersama dengan rakan-rakannya yang sedang berusaha untuk menamatkan pengajian dalam bidang senibina di luar negara. Sepanjang perjalanan akademiknya di rantau orang, penulis telah mengetengahkan beberapa kisah yang dilihat memberikan impak kepada pembangunan jiwa penulis di mana ia banyak berunsur kerohanian.
Mengandungi sebanyak 22 bab, pengulas secara peribadi telah memilih bab 9 sebagai bab bacaan kegemarannya di mana ia mengisahkan tentang penulis sewaktu sedang bersolat di sebuah masjid. Di situ, penulis telah menemukan satu peristiwa yang amat menyentuh jiwanya, apabila hadir seorang lelaki tua yang mendermakan sejumlah wang di dalam simpanannya ke tabung derma. Kesemua wang tersebut telah didermakan sedangkan penulis sebentar tadi baru mendermakan sebahagian sahaja wang miliknya. Penulis yang terkesan dengan situasi tersebut telah mendermakan wangnya itu kepada orang tua tersebut dengan harapan dapat membantunya, namun hanya untuk menyaksikan bahawa orang tua itu memasukkan juga wang pemberiannya ke dalam tabung derma tersebut. Akhirnya penulis sedar tentang hakikat kehidupan di dunia yang sementara ini.
Secara keseluruhan, buku ini sarat dengan nilai motivasi. Antara nilai motivasi yang diketengahkan adalah tidak mudah berputus asa terhadap satu-satu usaha yang telah dimulakan. Ini kerana untuk memulakan sesuatu itu amat sukar, akan tetapi apabila ia diiringi dengan semangat tidak mudah putus asa, setiap individu pasti dapat mengharungi kesukaran itu demi mengecapi kemainisan dan kejayaan diakhirnya, Seperti mana bait kata di dalam sebuah lagu, ‘kepahitan dulu bertukar menjadi sebuah sejarah dan kenangan manis.’
Buku yang kedua berjudul ‘Minimalis’ dan merupakan hasil karya Faridah Ghazali yang membawa pembacanya menelusuri ‘kehendak manusiawi’. Kehendak manusiawi yang cenderung untuk melampaui batas adalah sesuatu yang amat sukar dibendung. Ditambah pula dengan budaya berseronok dan bermewah-mewah yang sering menjadi kesukaan manusia. Justeru, manusia itu sendiri di penghujungnya akan terperangkap di dalam dunia pembaziran.
Oleh itu, Faridah Ghazali menawarkan sesuatu yang jarang diketengahkan kepada umum iaitu ‘minimalis’. Secara umum, minimalis bukan sekadar mengenai simplistik dalam selera dekorasi seperti yang diketahui umum, namun minimalis mampu menjangkau lebih daripada itu. Hakikatnya, minimalis itu amat berkait rapat dengan nilai kesederhanaan dalam kehidupan.
Minimalis boleh dilihat dari sudut menghargai sekecil-kecil perkara mahupun sebuah pemberian. Penulis menyatakan bahawa untuk merasa bahagia, kita tidak memerlukan sesuatu yang bersifat gah atau besar dalam kehidupan seharian kita. Tuhan telah memberikan nikmat yang luas tanpa disedari untuk kita syukuri. Justeru, menghargai perkara-perkara yang kecil juga adalah sifat orang yang bersyukur.
Kecenderungan untuk berlebih-lebihan dalam kehidupan boleh dipupuk dengan nilai minimalis. Namun ia perlu dalam kerangka yang munasabah supaya tidak jatuh ke tahap kedekut mahupun bakhil dalam kehidupan. Minimalis hakikatnya membawa sikap berpada-pada dan memiliki sesuatu pada takat yang sepatutnya, sesuai dengan keperluan hidup kita sahaja. Penulis juga memasukkan contoh daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang amat menepati prinsip minimalis iaitu hidup sederhana. Sikap yang turut menepati prinsip minimalis ini ialah sikap qanaah. Hal ini kerana qanaah itu mengajar kita untuk merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak melampau dan membazir.
Buku Minimalis ini adalah buku yang sangat baik untuk dirujuk oleh mereka yang mahu memulakan langkah minimalis dan mengubah kehidupan masing-masing kepada yang lebih baik.