Pada 6 April 2023, Program BookSharing@UTMKL 2023/Siri 4 telah diadakan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Dua pengulas telah dijemput untuk mengulas bahan bacaan pilihan masing-masing iaitu Cik Nurulain binti Mazelan, Pegawai Kewangan dari Jabatan Bendahari UTM dan En. Muhammad Afize bin Adnan, Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).

Program kali ini dikendalikan oleh Puan Nurrull Huda binti Abdul Wahid, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur selaku moderator. Program dimulai dengan menjemput Cik Nurulain binti Mazelan yang memilih buku bertajuk Jangan Sesekali Menyerah yang ditulis oleh Al-Dilla. Menurut pengulas, buku ini mengisahkan tentang perjalanan penulis untuk berhijrah dan menyebarkan kebaikan dengan cara berkongsi cara bagaimana kita boleh terus cekal dan berubah untuk menjadi manusia yang lebih baik dan sekaligus dapat menaikkan semangat dan motivasi diri para pembaca.

Kitaran kehidupan manusia yang digambarkan oleh penulis ialah dari Allah yang menciptakan seluruh alam, lalu kelahiran manusia ibarat sebuah pintu yang menjadi jalan kita daripada Allah SWT menuju ke dunia. Pilihan pula mengambil peranan penting dalam kehidupan atau boleh juga dikatakan sebagai kunci kejayaan kita di dunia dan di akhirat kerana peluang untuk memilih itu juga adalah merupakan rahmat dari Tuhan. Perkara berikutnya adalah kematian iaitu sebuah pintu yang menjadi jalan kita dari dunia menuju kembali kepada Allah. Akhir sekali keabadian iaitu pengumpulan perbuatan kita di dunia, sama ada baik atau buruk.

Menurut pengulas, penulis turut berkongsi langkah penghijrahan beliau di mana beliau berani untuk keluar dari zon selesa, sentiasa berfikiran positif dan memaksimumkan seluruh potensi dirinya untuk mencapai kejayaan. Setiap apa yang dilakukan perlulah istiqomah, perbetulkan diri kita dan perlu tahu apa yang benar-benar kita inginkan, mengetahui keperluan melakukan perkara berkenaan dan berapa banyak kita perlu mengulanginya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ini, beliau menyimpulkan bahawa kegagalan merupakan guru yang terbaik dan jangan sesekali menyerah kalah, teruskan usaha mengejar kejayaan dunia dan juga akhirat.

Perkongsian diteruskan lagi oleh En. Muhammad Afize bin Adnan yang telah memilih buku bertajuk Nota Hartanah Sentap oleh Harith Faisal. Menurut beliau, buku ini ditulis untuk anak muda yang sedang mencari jalan mendapatkan rumah pertama, hala tuju kewangan dan kehidupan yang lebih baik. Kandungan buku ini boleh menjadi inspirasi kepada semua untuk segera mengurus kewangan dengan tertib pada waktu muda dan mampu untuk membeli rumah pertama.

Menurut pengulas, faktor utama yang menjadi punca anak muda sukar memiliki rumah pertama adalah kerana kegagalan mengurus kewangan dengan baik. Hal ini kerana mereka tidak meletakkan pemilikan rumah sebagai prioriti dan sikap tunggu dan lihat.  Terdapat juga golongan yang memberi alasan menunggu harga rumah di pasaran turun pada kadar tertentu. Namun begitu, mereka tetap tidak melakukan persediaan awal sama ada dari segi simpanan mahupun ilmu berkaitan pemilikan hartanah.

Pengulas menyimpulkan bahawa perkara utama yang anak muda perlu ada pada diri mereka adalah kesedaran. Kemudian, ilmu bagaimana cara untuk mengurus kewangan dan seterusnya baru kepada proses memiliki rumah.  Pengulas juga turut berkongsi tips urus kewangan, serta langkah-langkah persediaan dari segi proses dan kos membeli rumah.

 

Share this :