Program BookSharing @UTMKL 2023/Siri 6 telah diadakan pada Khamis, 1 Jun 2023. Seperti lazimnya, dua penyampai dijemput untuk berkongsi bahan bacaan beliau bersama penonton yang lain. Utntuk siri ke-6 ini, dua penyampai yang dijemput adalah Puan Nur Aisyah Che Sidid, Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Encik Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob, Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi). Moderator untuk siri kali ini adalah Puan Sharifah Radhiah binti Syed Azman (Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTMKL).
Program dimulai dengan perkongsian dari Puan Nur Aisyah Che Sidid yang memilih buku Allah Kan Ada yang ditulis oleh The Bingkisan Hati. Menurut beliau, penulis mempersembahkan buku ini sebagai sebuah buku motivasi yang mampu mendidik pembaca untuk membuka mata dan menyingkap makna di sebalik kehadiran ujian dalam kehidupan kita. Buku ini sarat dengan pesanan, coretan dan nukilan dari hati. Malah buku ini penuh dengan pengajaran dan nilai, bahkan setiap tajuk disisipkan dengan pelbagai puisi dan kata-kata mutiara untuk menyingkap makna di sebalik kehadiran ujian dalam kehidupan kita.
Tambahnya lagi, penulis begitu positif terhadap ujian dan musibah yang Allah hantarkan dalam kehidupan berkaitan kesenangan, kesusahan, tentang takdir, tentang kematian, tentang kehilangan, tentang penghijrahan dan pelbagai lagi ujian dan peringatan yang Allah hantarkan.
Kesimpulannya, penulis mengajar kita cara untuk menerima dan melihat setiap ujian yang Allah hadirkan dalam kehidupan kita. Selagi kita masih ada tuhan selagi itu kita tak perlu takut dengan yang bernama ujian.
Program diteruskan lagi dengan perkongsian dari Encik Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob yang memilih buku Minimalis dari penulis Faridah Ghazali. Menurut beliau, definisi minimalis iaitu sederhana, tidak berlebihan dalam berbuat sesuatu perkara. Tidak berlebihan dalam memiliki sesuatu benda dan tidak berlebih-lebihan. Menurutnya lagi, minimalis dikelaskan kepada dua bahagian iaitu minimalis material dan minimalis kendiri. Minimalis material lebih kepada fizikal, harta benda, barangan. Kenalpasti barangan yang tidak perlu dan buang. Minimalis kendiri lebih kepada diri kita emosi, cara berfikir, hubungan dan sebagainya. Tidak membebankan fikiran dengan hal-hal remeh.
Penyampai menyimpulkan kejayaan dalam memiliki ketenangan dan kebahagian bermula dengan menghargai sekecil-kecil perkara. Mempraktikkan minimalis dalam kehidupan akan menghasilkan hidup yang lebih berkualiti, lebih masa, lebih ruang, lebih penghargaan, lebih jimat dan semestinya lebih bebas.