Program Siri Ijtihad Pustaka anjuran Perpustakaan UTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka telah diadakan untuk siri yang ke-4 dengan tajuk ‘Pengurusan Organisasi Dari Perspektif Islam’.
Untuk siri kali ini, panel yang telah diundang ialah Dr. Nik Mohd Zaim bin Ab Rahim (Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UTM Kuala Lumpur) manakala moderator ialah Pn. Nurull Huda Abdul Wahid (Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan, UTM Kuala Lumpur).
Menurut Dr. Nik Mohd Zaim bin Ab Rahim, pengurusan organisasi dari perspektif Islam itu adalah melibatkan beberapa elemen iaitu:
a) mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.
b) keadilan
c) bermesyuarat (musyawarah)
d) kebebasan
e) persamaan
Menurut panel, setiap manusia itu ada peranan masing-masing di dunia ini sebagai hamba kepada Allah dan peranan sebagai khalifah untuk memakmurkan alam semesta ini dan mengekalkan hubungan harmoni dengan persekitaran.
Pengurusan organisasi secara Islamik ini secara ringkasnya bermaksud penggemblengan tenaga dan sumber, melalui perancangan, arahan dan kawalan dalam sesebuah organisasi mengikut prinsip dan nilai yang ditetapkan dalam Islam. Dua sumber utama dalam islam adalah Al-Quran dan al-Hadis.
Buku yang dikongsikan ini mempunyai 16 bab dan setiap bab dimulai dengan pengenalan, perbincangan dan seterusnya kesimpulan yang memudahkan pembaca memahami input dalam buku ini. Buku ini turut menerangkan tugas pengurus terhadap pekerjanya iaitu memberi dorongan kerja, menjaga kebajikan kerja, menyediakan peluang pekerjaan dan menyelesaikan isu upah atau ganjaran. Ini bersesuaian dengan latar belakang penulis itu sendiri yang berpengalaman dalam bidang pengurusan dan kerana itulah, beliau mencadangkan buku ini dimiliki serta dibaca oleh mereka yang menguruskan apa juga organisasi.