Sesi BookSharing@UTMKL 2023/Siri 7 kali telah diadakan pada hari Rabu bertarikh 14 Jun 2023 di mana Jabatan Perpustakaan UTMKL telah menjemput En. Muhammad Al-Hakim Naziruddin, Guru Bahasa (Jepun) dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) sebagai pengulas dan beliau telah memilih sebuah buku berjudul Keretapi Jepun (日本の鉄道). Moderator untuk sesi kali ini adalah En. Mohd Zaidi Othman, Pustakawan Kanan Jabatan Perpustakaan UTM.

Pengulas memulakan perkongsian dengan memperkenalkan penulis buku Keretapi Jepun iaitu Katsumasa Harada kepada para penonton.  Beliau merupakan seorang ahli sejarah yang lahir di Tokyo (1930 – 2008).  Beliau mula terlibat secara aktif dalam penulisan berkaitan keretapi Jepun sejak dari tahun 1969.

Menurut pengulas, penulis menulis buku tersebut dengan kaedah pembahagian mengikut zaman iaitu zaman pembaharuan, zaman revolusi perindustrian, masyarakat awam, zaman peperangan dan perubahan keretapi di Jepun.  Menurutnya, Jepun dahulunya mengamalkan Dasar Tertutup.  Namun ketika pemerintahan Tokugawa Ieyasu (General Tokugawa), beliau mengamalkan dasar terbuka kerana merasakan mereka lebih mundur dan ketika inilah Jepun menerima model Lokomotif Wap.

Masyarakat Jepun pada ketika itu juga amat teruja terhadap pembinaan sistem pengangkutan keretapi. Pelbagai panggilan diberikan seperti “Rikujouki (land steam)”, “Kurobune (black ship)”. Mereka juga mengadakan lawatan dan pakej pelancongan dengan menggunakan perkhidmatan keretapi. Kesannya, perdagangan barangan meningkat dengan penggunaan keretapi sebagai mod pengangkutan.  Muatan lebih besar turut boleh dibawa berbanding laluan air yang berisiko dan mengambil masa.  Pendapatan perdagangan meningkat dan begitu juga pendapatan pengangkutan keretapi turut meningkat.

Di akhir perkongsian ini, pengulas merumuskan bahawa pengangkutan yang efisyen boleh menyumbang kepada pemodenan sesebuah negara dan peranan keretapi dalam kestabilan politik, ketenteraan dan ekonomi tidak boleh dinafikan.  Keretapi di Jepun juga menjadi asas kepada jaminan hak bergerak kepada masyarakat.  “Hak Pengangkutan” merangkumi perkara keselamatan, tambang murah, masa dan keselesaan.

Share this :