Program BookSharing @UTMKL 2023/Siri 8 telah diadakan pada Khamis, 13 Julai 2023. Seperti lazimnya, dua (2) orang penyampai telah dijemput untuk berkongsi bahan bacaan yang menjadi pilihan mereka iaitu Encik Nabeel Fakrur Razy bin Jufri (Penolong Jurutera, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Encik Hairul Lail bin Ismail (Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Malaysia – Japan International Institute of Technology).
Moderator, Encik Mohd Azalan bin Mohd Lazim telah menjemput Encik Nabeel Fakrur Razy bin Jufri untuk memulakan perkongsian. Beliau memilih buku yang bertajuk Exactly What to Say yang ditulis oleh Phil M Jones. Menurut beliau, buku ini mengandungi banyak ayat-ayat magis. Namun untuk sesi perkongsian pada kali ini, beliau akan akan berkongsikan 3 ayat yang rasional dan boleh dipraktikkan oleh pendengar dalam urusan harian dan kerjaya.
Pertama, “bila masa yang terbaik”. Beri pilihan kepada mereka, ruang menetapkan masa apabila meraka bersedia untuk sesuatu, bukan kita yang menetapkan masa untuk mereka bersedia. Kata putus atau pencapaian sesuatu perkara akan jadi lebih baik. Kedua, “jika dan maka”. Jika mereka mencubanya maka dia yakin mereka tidak akan kecewa. Ayat ini boleh digunakan untuk menambah keyakinan pembeli atau mempromosikan sesuatu. Ketiga, “cuba bayangkan”. Memberi gambaran yang baik kepada mereka kepada keberkesanan sesuatu di masa depan. Ia boleh digunakan oleh peniaga untuk menyakinkan pelabur sebagai contoh. Beliau merumuskan bahawa setiap kata-kata dapat memberi impak samada kepada diri sendiri atau individu lainnya.
Program diteruskan lagi dengan perkongsian oleh Encik Hairul Lail bin Ismail yang memilih buku The Power of Duck yang ditulis oleh Takao Furuno. Menurut beliau, buku ini menerangkan kaedah Penternakan Padi Itik Bersepadu dikenali sebagai “Aigamo Method” di Jepun. Ianya telah mula diperkenalkan pada tahun 1989 oleh penulis buku ini sendiri iaitu Takao Furuno yang merupakan seorang pesawah. Beliau mencuba kaedah ini untuk mengurangkan kos input tanaman dan pekerja dalam industri tanaman padi sekitar tahun 1988. Penggunaan itik di dalam kaedah ini adalah kerana kebolehannya membajak dan mengeruhkan air, merangsang pertumbuhan pokok padi, mengawal siput gondang, rumpai serangga dan membekalkan nutrisi.
Beliau berkongsi kaedah yang digunapakai penulis ialah perlaksanaan “Aigamo Method” iaitu dengan cara menutup kawasan sawah dengan jaring sepenuhnya dan juga pagar elektrik jika perlu. Bagi keluasan 1 ekar tanah dilepaskan 45 ekor anak itik yang berusia 14 hari pada hari pertama dilepaskan. Anak itik berkenaan akan dilepaskan ke dalam kawasan sawah padi 24 jam sehari selama 55 sehingga 60 hari. Waktu yang sesuai untuk dilepaskan ialah di antara 14 hingga 70 hari selepas padi ditanam sehingga sebelum padi berbunga. Kaedah ini dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi di antara 15%-30%. Pengeluaran padi mencapai 3.2 ton/ekar dan pengurangan kos input sehingga 50%.
Penyampai menyimpulkan bahawa kaedah ini amat praktikal untuk dipraktikkan di Malaysia. Ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah yang berlaku di industri padi seperti tenaga buruh dan upah, penggunaan perlesenan pilot drone dan beras akan bebas racun dan bahan kimia.