Program World River’s Day 2023 merupakan acara tahunan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan sungai sedunia. Ia juga seiring bagi menyokong Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs).
Sambutan tahun ini telah diadakan pada 23 September 2023, Sabtu di Sg Bunus anjuran bersama oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTMKL, Institut Sultan Iskandar (ISI) dan turut disertai Perpustakaan UTMKL. Program ini turut mendapat kerjasama dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), LA21- Local Agenda Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).
Antara acara yang telah diadakan adalah Senamrobik dan Aktiviti Kudah. Kudah merupakan singkatan daripada kutip sampah sambil riadah. Semua peserta diberikan penyepit dan plastik sampah yang berlainan warna untuk tujuan pengasingan sampah yang boleh dikitar semula. Pada hari tersebut sebanyak 270kg sampah telah berjaya dikutip dan akan dihantar untuk kitar semula.
Acara telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Penasihat DBKL En Andre Lai, di samping Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul bin Sarip, Timbalan Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS KL). Taklimat am juga telah disampaikan oleh Tn Ir. Azman Abu Bakar, sekretariat LA21KL bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan masyarakat bandar, khususnya dalam penjagaan sungai. Keunikan program sungai hari ini adalah ia dijalankan di sebatang sungai yang bermula dan berakhirnya di Kuala Lumpur.
Team Perpustakaan turut menyertai program kudah dan mengadakan Pameran Buku Lestari. Lebih kurang 40 orang telah hadir ke booth pameran dan menyertai kuiz ringkas mengenai sungai dan alam sekitar. Semoga usaha ini dapat memotivasikan masyarakat untuk bertindak bersama dalam menjaga dan memelihara kelestarian alam sekitar dan juga sumber air.