Pada 16 Oktober 2023 (Isnin), telah diadakan Program Knowledge Sharing yang bertajuk ChatGPT: AI Untuk Semua. Program tersebut telah disiarkan secara langsung di Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan juga Youtube Channel UTM Library TV.
Program yang berlangsung selama satu (1) jam ini telah berjaya menarik minat ramai penonton kerana ChatGPT adalah sesuatu yang baru dan segar di mana ia mendapat perhatian banyak pihak yang kagum dengan fungsinya dalam memudahkan kerja-kerja yang melibatkan penggunaan komputer seperti penyuntingan artikel, penyuntingan imej bahkan sehingga ke peringkat penghasilan video.
Penceramah yang dijemput khas mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang kecerdasan buatan (AI), khususnya perihal penggunaan aplikasi ChatGPT ini. Penceramah tersebut adalah Prof. Madya Dr. Nor Zairah Binti Ab. Rahim (Pensyarah, Fakulti Teknologi & Informatik Razak) dan moderator program ini ialah Puan Sharifah Radhiah Binti Syed Azman (Pustakawan, Perpustakaan UTM KL)
Menurut beliau, ChatGPT berupaya setanding dengan mesin carian yang popular seperti Google, Bing, Yahoo! Search dan lain-lain pada suatu masa nanti. Meskipun ia belum cukup mesra dengan masyarakat kita terutama bagi mereka yang tidak celik IT, namun sebaran maklumat secara langsung mahupun tidak langsung berkaitan ChatGPT ini sedikit sebanyak telah membuka mata masyarakat dan mereka mula berani untuk meneroka dunia ChatGPT ini yang dilihat mempunyai pelbagai fungsi.
Beliau turut mengakui meskipun mempunyai banyak kelebihan, ChatGPT juga mempunyai kekangan serta limitasinya yang tersendiri, di samping beberapa isu penggunaan dan cabarannya. Beliau terangkan dengan kebih terperinci didalam perkongsian ini. Menurut beliau, AI adalah salah satu bidang dalam komputer sains yang mengkaji mengenai kepintaran mesin dan ini membuktikan bahawa robot boleh membantu dalam menyelesaikan masalah. Dari segi kedudukan di antara negara-negara membangun, Malaysia berada di kedudukan yang ke-29 daripada 181 negara di dunia yang bersedia untuk mengeksploitasi dunia AI ke tahap yang lebih jauh kelak.
Bercakap mengenai AI, ia boleh mengurangkan tenaga manusia dalam sektor pekerjaan, menurut beliau fakta ini ada benarnya. Contoh yang diberikan adalah beberapa hospital di Malaysia yang mula menggunakan pendekatan people less di mana banyak peralatan yang menggunakan AI telah menggantikan tugasan manusia tersebut.
Di dalam perkongsian ini juga, beliau berkongsi beberapa tools atau alat bantuan lain selain ChatGPT yang berupaya membantu memberikan penyelesaian secara kreatif kepada pengguna. Semua tools ini adalah dibuat untuk memudahkan kerja dan tidak semua pekerjaan akan digantikan sepenuhnya oleh AI.
Semoga perkongsian ini berjaya membuka minda semua penonton untuk mencuba ChatGPT dengan beretika sekaligus berjaya membantu untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja ke arah yang lebih baik.