Sesi Read & Relax, Siri 10/2019 di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) telah dilaksanakan pada 20 Jun 2019, Khamis di Ruang Read & Relax pada jam 2.00 petang. Sesi ini menampilkan 3 orang pengulas istimewa dari Penerbit Galeri Ilmu Sdn Bhd dan Akademi Bonda Nor. Sesi kali ini mengetengahkan buku-buku dari Siri Muhasabah Diri: Bercakap Dengan Cermin.
Ringkasan : Bumerang, sejenis permainan yang apabila dilemparkan akan berbalik semula. Itulah analoginya. Itulah panduan kita dalam menetapkan hala tuju kasih sayang dan cinta. Dalam naskhah ini, ia menggunakan konsep yang mudah yang mana jika sayang yang kita beri, sayang jugalah yang akan kita terima kembali. Ia merupakan nukilan penulis yang memaparkan kisah-kisah benar yang berlaku dalam kehidupan mereka.Sungguh, kadang kita penat baca kisah-kisah sedih dan duka. Penat tumpang berduka. Penat menangis. Bahkan kadang kisah-kisah duka buat kita terlupa bahawa Tuhan yang memberi duka itu juga yang membekalkan cinta!
Perkongsian penulis mengenai kisah hidup beliau yang bermula dengan kegagalan dan kedukaan. Namun, berkat doa dan usaha yang gigih telah membawa beliau hingga ke tahap sekarang dan menempuh pelbagai kejayaan. Penulis juga memberikan tips-tips berguna kepada pendengar bahawa kuasa doa itu sangat tinggi dan merupakan kunci kejayaan beliau. Doa diri sendiri yang sangat penting termasuk doa dari kedua orang tua, guru-guru dan rakan-rakan juga merupakan unsur penting dalam menjalani kehidupan kita.
Ringkasan : Ia merupakan kisah sebenar yang dihadapi oleh penulis yang mana beliau terpaksa melalui perit getir sebagai seorang ibu tunggal yang sedang membesarkan anak-anak. Tekanan dan emosi sering melanda dan anak-anak menjadi sasaran kemarahan. Ego seorang ibu sangat tinggi apabila merasakan apa yang dilakukan adalah betul tanpa memikirkan perasaan anak-anak.
Setelah menulis buku ini dan menjiwai jiwa anak-anak, penulis merasakan yang setiap anak memerlukan perhatian dari ibunya dan penulis mula sedar keegoan seorang ibu tidak dapat menyelesaikan masalah.
Ringkasan : Tuhan itu terlalu dekat. Dia berbicara dengan kita menerusi pelbagai cara. Dalam pada kita leka, ditariknya kita agar kembali kepada fitrah sebagai seorang khalifah. Dalam pada kita lupa, Dia hantar peringatan demi peringatan agar kita segera kembali ke pangkal jalan.
Namun, masihkah kita dapat mengecap nikmat kasih sayang-Nya dalam setiap musibah yang datang? Naskhah TAMPARAN TAKDIR mengajak pembaca menyelami hakikat ini agar mudah memujuk hati. Betapa setiap musibah sebenarnya adalah bicara takdir yang sedang memaksa kita berfikir. Justeru, jika kita mampu memahaminya, tidak wujud istilah derita, melainkan bahagia. Hati pedih terhukum, tapi kita masih mampu mengukir senyum!
Penulis pernah mengalami saat kemurungan selama 3 bulan yang mana beliau merasakan jiwanya kosong dan tidak berdaya. Setelah menyertai Bonda Nur untuk menulis apa yang dihadapi dan meluahkannya dalam penulisan, jiwanya tenang dan kembali ceria.
Disediakan oleh Norashikin Binti Johari