Pada 31 Januari 2024 (Rabu), Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru telah menerima kunjungan lawatan daripada Sekolah Kebangsaan Api-Api, Pontian, Johor. Para pelawat terdiri daripada 47 orang pelajar tahun 6 bersama enam (6) orang guru pengiring. Sesi lawatan dimulakan dengan sesi taklimat ringkas yang telah disampaikan oleh pustakawan bertugas iaitu Puan Nur Nazurah Nordin. Penerangan ringkas berkaitan dengan Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) serta perkhidmatan yang ditawarkan ini telah diadakan di ruangan lobi Perpustakaan Sultanah Zanariah. Setelah sesi penerangan tamat, para pelawat telah dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama diiringi oleh dua (2) orang petugas iaitu Puan Nur Nazurah Nordin dan Puan Norsyazwani Mohd Ariffin. Kumpulan kedua pula diiringi oleh dua (2) orang petugas iaitu Puan Suraya Jaapa dan Cik Siti Nor Hashidah Zakaria.
Sepanjang sesi lawatan, para pelawat telah diberi pendedahan umum berkaitan dengan perkhidmatan yang ditawarkan di JPUTM, khususnya PSZ. Beberapa ruang khusus di perpustakaan menjadi perhatian para pelawat apabila fungsinya diterangkan oleh petugas lawatan seperti Ruang Interaktif, Serambi Ilmu Rakyat dan ruang Koleksi Peta di aras 3. Di samping itu, para pelawat juga dapat melihat lokasi yang menempatkan koleksi buku di aras 4 dan aras 5 yang menjadi tumpuan mahasiswa untuk merujuk, mengulangkaji dan menyiapkan tugasan. Para pelawat turut diberi penerangan mengenai perbezaan koleksi buku berdasarkan kategori iaitu layanan terbuka dan layanan terhad.
Seterusnya, para pelawat telah dibawa ke Galerium Perpustakaan yang terletak di aras 2. Ianya menempatkan koleksi artifak UTM yang pernah digunakan seawal tahun 70-an. Antara artifak yang berada di Galerium UTM ialah seperti mesin pengimbas, almari kad peminjaman bahan, komputer edisi terawal Apple, projektor tayangan dan lain-lain. Di samping itu, para pelawat turut teruja menyaksikan koleksi artifak konvokesyen yang pernah digunakan ketika majlis konvokesyen di awal penubuhan UTM dahulu. Selain itu, terdapat juga kerusi canselor, potret canselor, koleksi jubah dan lain-lain. Para petugas dari Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi telah memberi penerangan mengenai koleksi artifak ini iaitu Puan Siti Rahidah Radzuan selaku penyelaras, Encik Mohd Faezan Abd Jalil dan juga Puan Amirah Husna Mohd Khairulnisa.
Di ruangan lobi perpustakaan, para pelawat dapat menyaksikan tatacara perkhidmatan di Kaunter Sirkulasi di aras 3 di mana mereka diberikan penerangan tentang kaedah peminjaman bahan di kaunter dan juga menggunakan Sistem Pinjaman Layan Diri (SPLD). Semoga pendedahan dan penerangan yang disampaikan oleh pustakawan dan petugas sepanjang lawatan kali ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang berharga kepada para pelawat dan dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.