Pada 15 Februari 2024 (Khamis), Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menganjurkan Program Baca & Santai Siri 3 yang disiarkan secara langsung di dalam talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel pengulas jemputan pada kali ini terdiri daripada Puan Zanariah Salam, penulis buku Keunikan Gunung Bromo, dan Puan Salmiah Kasmuni, penulis buku Herba Sakti Nenek. Moderator jemputan bagi sesi ini ialah Puan Norzuzilawati Sulaiman, Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
Puan Salmiah Kasmuni, seorang pelukis pelan yang berpengalaman, telah memulakan penulisan buku yang bertajuk Herba Sakti Nenek. Menurut beliau, idea untuk menerbitkan buku ini muncul daripada pengalaman kehidupan peribadi dimana ibundanya merupakan seorang pengamal perubatan tradisional.
Panel menceritakan buku ini mengisahkan tentang kehidupan dua (2) adik-beradik bernama Fadli dan Najaa yang tinggal bersama nenek mereka di kampung. Ini disebabkan oleh ibu bapa mereka berada di luar negara atas urusan kerja. Halaman rumah nenek Siti dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok herba kerana terlibat dengan projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Selain menanam pokok herba, nenek Siti juga memelihara beberapa ekor ayam. Namun begitu, Fadli tidak suka keadaan halaman yang dipenuhi dengan pokok herba. Baginya, pokok-pokok herba itu berbau busuk dan kokokan ayam sering mengganggu tidurnya. Fadli cuba untuk memusnahkan semua pokok herba yang ditanam oleh neneknya.
Seterusnya, menurut panel, Fadli mempunyai pengalaman tidak menyenangkan ketika dia terkena gatal-gatal setelah menangkap ikan di kampung namun begitu asbab daripada penggunaan tumbuhan herba tersebut telah membawa kesedaran kepadanya. Nenek Siti telah menggunakan bedak sejuk yang mengandungi herba dari pokok-pokok tersebut untuk merawat gatal-gatalnya dan asbab dari itu Fadli berasa lega. Akhirnya, Fadli menyedari kesilapannya dan memutuskan untuk membantu neneknya menanam semula pokok herba yang sebelum ini telah dimusnahkan.
Dari pengalaman ini, kita dapat belajar mengenai rasa hormat kepada orang yang lebih tua serta menghargai dan menjaga harta milik orang lain. Kita juga mempelajari kepentingan menjaga alam sekitar dan menghargai kegunaan herba dalam merawat penyakit.
Panel seterusnya ialah Puan Zanariah Salam, seorang Alumni UTM yang memperkenalkan buku Keindahan Gunung Bromo sebagai terbitan pertamanya bersama DBP yang menampilkan konsep illustrasi diorama. Bahan cerita dalam buku ini dihasilkan dari pengalaman penulis sendiri yang telah mengunjungi Gunung Bromo, Indonesia sebanyak empat (4) kali. Buku ini mengisahkan tentang pengalaman seorang budak lelaki bernama Amin bersama ibu bapanya melawat Gunung Bromo di Indonesia. Amin berkongsi keindahan Gunung Bromo dengan datuknya, yang menyatakan bahawa Gunung Bromo merupakan gunung berapi yang terbesar di Indonesia. Amin sangat gembira mendapat pengetahuan baru tentang gunung berapi ini walaupun beliau telah mengunjunginya sebelum ini. Dengan pengalaman yang diceritakan, pembaca dapat merasai keindahan alam dan keunikan Gunung Bromo, serta menarik inspirasi untuk mengeksplorasi tempat-tempat baru dengan rasa ingin tahu dan keterbukaan.
Selain itu, panel turut menceritakan mengenai cara menuju ke Gunung Bromo yang mengambil masa selama empat (4) jam dan servis yang disediakan di sana. Buku ini juga merangkumi penerangan mengenai Lingkaran Geografi gunung berapi dan kedudukannya di Indonesia. Akhir kata dari panel, beliau berpesan pada individu yang berminat untuk menjadi penulis bahawa pentingnya untuk berjumpa dengan individu yang lebih berpengalaman dalam bidang penulisan dan mendapatkan nasihat serta illustrasi yang berkualiti. Mereka yang telah berpengalaman dalam bidang penulisan akan dapat memberikan panduan yang tepat, terutamanya dalam aspek-aspek yang perlu diberi penekanan. Pengetahuan asas juga perlu diperolehi sebelum kita memulakan sebarang projek penulisan. Dengan menyampaikan maklumat tentang perjalanan menuju Gunung Bromo dan servis yang disediakan di sana, pembaca dapat memiliki gambaran yang lebih jelas tentang pengalaman melawat tempat tersebut. Penerangan mengenai Lingkaran Geografi dan kedudukan Gunung Bromo dalam konteks ini juga memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang fenomena geologi yang menarik. Pesanan penulis kepada individu yang berminat untuk menjadi penulis memberi inspirasi dan panduan yang berharga bagi mereka yang ingin mengejar impian dalam bidang penulisan.
Puan Salmiah turut menitipkan pesanan agar sesiapa yang berminat untuk melahirkan buku kanak-kanak terus melibatkan diri dalam proses penulisan tanpa mengabaikan minat dan keseronokan. Beliau menggalakkan untuk menyertai program–program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa kerana mereka menyambut baik dan menerima karya-karya yang dihantar, termasuk kanak-kanak yang masih bersekolah. Walaupun buku digital semakin popular, namun buku fizikal masih kekal relevan dan lebih dekat di hati para pembaca dan penulis. Sumber rujukan yang ada perlu digunakan dengan bijak untuk menentukan haluan penulisan kita. Beliau berharap agar lebih ramai yang memilih penulisan sebagai kerjaya sampingan atau hobi, dan melihatnya sebagai satu bidang yang menjanjikan kepuasan dan bermakna.