2 Mei 2024, Khamis – Program BookSharing @UTMKL 2024 Siri 4 telah diadakan dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Pada siri kali ini, dua (2) orang panel jemputan telah dijemput untuk berkongsi buku bacaan mereka bersama-sama penonton. Panel jemputan yang dijemput ialah Puan Nur Nadzirah Alwani Eli Mardi, Penolong Jurutera, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIT) dan Encik Mohamad Aizad Mohd Mokhtar, Pelajar PHD UTM. Program ini telah dikendalikan oleh Puan Nurrull Huda Abdul Wahid, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur selaku moderator.
Puan Nur Nadzirah Alwani Eli Mardi telah berkongsi buku bacaan beliau bertajuk Diagnosis 2, yang ditulis oleh tujuh (7) orang doktor pakar dari pelbagai bidang iaitu Dr. Anwar, Dr. Aizzat, Dr. Azah, Dr. Mafeitz, Dr. Mahyuddin, Dr. Fatin Liyana dan Dr. Beni Rusani. Buku yang diterbitkan pada tahun 2014 ini mempunyai 35 cerita pendek yang mengisahkan tentang situasi dan realiti sebenar yang berlaku antara doktor dan pesakit di hospital.
Menurut beliau, buku ini memaparkan kerjaya seorang doktor dan bagaimana doktor ini menilai dan mengambil berat mengenai kondisi kesihatan yang melibatkan nyawa pesakit dari pelbagai sudut sebelum satu-satu keputusan perubatan dibuat. Dalam masa yang sama, doktor ini jugalah adalah diibaratkan seperti ‘penonton setia’ sama ada dalam situasi tragis, gembira mahupun transisi hidup mati seorang pesakit. Seterusnya, pengulas juga menyatakan bahawa jika seseorang itu memlilih doktor sebagai kerjaya, ia haruslah disertai dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah Taala kerana kita semua sedia maklum tahap tekanan yang dihadapi oleh semua petugas kesihatan adalah sangat tinggi.
Dalam perkongsian ini juga, pengulas turut berkongsi beberapa cerita menarik yang terdapat di dalam buku ini. Antara yang diceritakan adalah situasi di Jabatan Kecemasan di sebuah hospital di mana seorang remaja 13 tahun yang mengalamai demam dan bengkak di betis berpunca daripada kemalangan yang lepas. Doktor yang merawat telah mempersoalkan punca pesakit tidak dibawa berjumpa doktor lebih awal, dan menurut remaja tersebut, ayahnya telah memilih untuk merawat dengan cara tradisional. Doktor akhirnya mengesahkan bahawa remaja tersebut telah mengalami patah tulang keting di kaki dan terdapat jangkitan kuman serta ulat di kakinya. Kecewa dengan situasi tersebut, doktor akhirnya membawa remaja terbabit untuk dirujuk di bahagian ortopedik dan perlu dirawat dengan segera.
Kisah yang lain pula mengenai kerenah seorang pesakit wanita yang amat mementingkan batas auratnya dengan bukan mahram telah mempersoalkan seorang doktor lelaki yang hendak mengambil darahnya dan bukan doktor wanita. Kemudian datang pula seorang jururawat wanita yang menanyakan sama ada beliau telah solat ataupun belum, dan wanita itu menjawab bahawa beliau tidak solat atas sebab tidak sihat dan sukar untuk melakukan pergerakan. Kesimpulannya, jangan terlalu memberatkan dengan sesuatu perkara yang boleh mendapat pengecualian dari sudut syarak (soal aurat), namun mengabaikan pula perkara yang lebih besar yang perlu dilakukan meskipun terlantar sakit (ibadah solat).
Perkongsian diteruskan dengan panel kedua iaitu Encik Mohamad Aizad Mohd Mokhtar yang memilih buku Ganbatte! hasil penulisan Albert Liebermann. Menurut beliau, buku ini istimewa baginya kerana beliau telah mendapatkan sendiri buku ini di negara penerbitan asalnya iaitu di Jepun. Penulisan buku ini adalah di dalam bahasa Inggeris yang menggunakan laras bahasa mudah untuk difahami pembaca. Ia menghimpunkan 50 kisah yang berlaku di Jepun, Ganbatte itu membawa maksud beri yang terbaik. Hal ini jelas menunjukkan pembacaan buku ini bakal memberi kita inspirasi dan menjadikan seorang yang lebih bermotivasi dalam menjalani kehidupan ini.
Antara kisah di dalam buku ini yang menarik minat pengulas ialah bertajuk The Longest Jouneys Begin with a First Step yang mengisahkan tentang memulakan langkah pertama yang menjadi cabaran terbesar dalam mencapai apa jua matlamat. Oleh itu konsep Ganbatte itu perlu disuburkan sebagai langkah pertama. Maka hasilnya, keyakinan diri serta daya ketahanan diri dapat ditingkatkan dan mampu mecapai apa yang kita inginkan.
Kisah kedua yang dikongsikan pula adalah Tama the Cat di mana umum sedia maklum bahawa Jepun mempunyai banyak stesen kereta api namun terdapat beberapa stesen yang tidak banyak pengunjung dan mencatatkan kerugian menyebabkan kerajaan mahu menutup stesen-stesen tersebut. Dalam kes ini, stesen yang dimaksudkan adalah Stesen Kishi di Kinokawa, Jepun.
Walaubagaimanapun, terdapat satu (1) idea yang unik diberikan oleh bekas ketua stesen di situ di mana ia memohon kepada pemilik stesen untuk membiarkan seekor kucing bernama Tama untuk tinggal di situ. Beliau beranggapan bahawa kucing tersebut membawa nasib yang baik dan boleh menaikkan semula jumlah pengunjung stesen tersebut. Secara ringkas, stesen tersebut telah dibatalkan penutupannya disebabkan oleh Tama yang secara tidak rasmi diangkat menjadi ‘Ketua Stesen’. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun timbulnya pemasalahan, tetapi dengan mengamalkan sikap ganbatte itu mampu menghadirkan penyelesaian yang baik malah di luar jangkaan kebiasaan.
Pengulas menyimpulkan bahawa melalui pembacaan buku ini, pembaca akan mendapat inspirasi untuk memupuk ketahanan diri yang tinggi dalam menghadapi segala ujian dan cabaran, dan sekaligus memupuk sikap ganbatte dalam diri. Buku ini juga menunjukkan bahawa manusia itu sentiasa mempunyai objektif serta perancangan itu sendiri. Namun, untuk mencapainya bukanlah mudah. Justeru, semangat ganbatte itu sedikit sebanyak boleh melahirkan rasa keterujaan untuk kekal positif dan bermotivasi dalam usaha untuk menyelesaikan apa jua masalah mahupun matlamat yang mahu dicapai.