Program pembudayaan membaca Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru diteruskan lagi dengan siri ke-15 yang disiarkan secara langsung melalui aplikasi streamyard dan dipancarkan menerusi Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Sesi pada kali ini menjemput dua (2) orang pengulas daripada Friends of UTM Library (FLUTM) iaitu Muhammad Nur Azam Bin Ghazali, Pelajar PHD Fakulti Sosial Sains & Kemanusiaan dan Nur Anis Aqila Binti Zulkifli, Pelajar PHD Fakulti Alam Bina & Ukur. Moderator pada kali ini adalah Syaza Soraya Sauli.
Pengulas pertama, Muhammad Nur Azam memilih untuk mengulas hasil tulisannya sendiri yang bertajuk Mudahnya Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Kanak-Kanak Tadika. RPH merupakan satu rekod khas yang disediakan lebih awal oleh guru sebelum menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu juga, RPH ini dibina bertujuan untuk menjadikan satu panduan kepada para guru untuk mendidik dan memudahkan pengajaran mereka seterusnya menjadikan sesi pembelajaran dan pengajaran tersebut lebih sistematik agar mampu untuk mencapai apa yang telah difokuskan melalui objektif yang ditetapkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran kelak.
Pengulas menitipkan pesanan agar para guru menggunakan pendekatan Islam dalam mengajar kanak-kanak, jadikan Nabi Muhammad sebagai idola dalam mendidik anak-anak. Gunakan bahasa yang baik dan bersopan dalam mengajar mereka, berbicara menggunakan hati dan bukan tindakan semata-mata. Fahami mereka kerana mereka masih baru dalam kehidupan.
Manakala pengulas kedua, Nur Anis Aqila Binti Zulkifli memilih buku bertajuk Nasihat Buat Diri. Buku berbentuk motivasi ini adalah kesinambungan dari buku bertajuk Nasihat Buat Hati yang ditulis oleh Nur Mohamad Adli Rosli. Buku ini boleh dijadikan panduan kepada semua yang membaca dalam kehidupan harian selain dapat meningkatkan diri untuk jadi lebih baik dari hari sebelumnya. Antara petikan menarik dalam buku ini ialah Jangan melihat siapa yang menegur diri kita tetapi ambilah iktibar dan pengajaran daripada apa yang di tegur, kemungkinan Allah yang hadirkan orang itu dalam hidup kita untuk menegur perbuatan kita. Beringat dan sentiasa mengingatkan sebab dalam dunia ini kita tidak sentiasa benar.