27 Mei 2024, Isnin – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Kampus Lestari (UTMCS) UTMKL telah menganjurkan program khidmat masyarakat bertajuk Program Memartabatkan Orang Asli Melalui Pendidikan Science, Technology, Engineering dan Mathematics (STEM), Perpustakaan, Fun Learning Toy Library (FLTL) dan OSH di Sekolah Kebangsaan Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang pada 19 sehingga 21 Mei 2024.

Program ini turut dihadiri oleh Profesor Ir. Dr. Abd Latif bin Saleh, Pro-Naib Canselor, Kampus UTM Kuala Lumpur, dalam menyokong aktiviti komuniti ini. Program ini dirasmikan oleh Encik Muhamadiah Iskandar Mohamed, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.


Tujuan program ini adalah untuk menyumbang kepada komuniti setempat, memberi pendedahan kepada warga UTM tentang kepentingan merapatkan jurang pendidikan di kalangan masyarakat terpinggir. Para pelajar berpeluang mempraktikkan ilmu yang dipelajari untuk dimanfaatkan bersama komuniti sekali gus memberi impak positif kepada suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

Seramai empat (4) orang staf wakil dari Perpustakaan UTMKL yang turut sama terlibat dalam program ini iaitu Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Nurrull Huda Abdul Wahid, Pustakawan, Encik Ahmad Khairu Mahfuz Mamat dan Encik Muhammad Hanis Rahim, Pembantu Pustakawan. Beberapa aktiviti telah dirangka oleh  Perpustakaan UTMKL kepada pusat sumber sekolah tersebut.


UTM Reading Station merupakan penjenamaan kepada produk yang dihasilkan oleh Jabatan Perpustakaan UTM untuk digunapakai sebagai ruang program membaca. Di ruang tersebut, Perpustakaan UTMKL turut menyumbangkan bahan bacaan sekolah rendah yang dimohon dari Perpustakaan Negara Malaysia. Bahan tersebut terdiri daripada pelbagai genra seperti fiksyen dan bukan fiksyen yang merangkumi subjek STEM.

Turut diadakan Program Literasi Maklumat yang memfokuskan kepada 20 orang murid sekolah yang melibatkan pengawas pusat sumber dan pelajar tahap dua. Antara modul yang diterangkan ialah “Kenali Buku Anda” yang membolehkan peserta dapat mengenal pasti input yang tepat dalam pengisian data di buku NILAM. Modul ini merupakan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyuburkan budaya membaca di peringkat sekolah.  Soal selidik berkenaan pembacaan juga diberikan kepada murid sekolah ini dalam menilai persepsi mereka terhadap tahap pembacaan mereka.

Perancangan pada masa akan datang, Perpustakaan UTMKL merancang untuk mengadakan sinergi bersama pihak pusat sumber sekolah dalam menganjurkan Program Book Sharing @UTMKL yang akan dibawakan secara langsung bersama murid-murid di SK Pos Lemoi. Usaha ini bakal memberikan pengalaman baharu kepada komuniti sekolah dari segi penganjuran program dan juga perkongsian bahan bacaan secara lebih meluas.

Program khidmat masyarakat di SK Pos Lemoi ini merupakan satu pengalaman baharu dan mencabar buat warga Perpustakaan UTMKL. Namun, melihat hasil serta impak positif yang diperolehi, ia memberi kepuasan yang optimum kepada yang menyertainya. Secara tidak langsung ini membuktikan bahawa perpustakaan bukan sahaja sebagai gedung ilmu, malah mampu memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat pinggir bandar.


Perpustakaan UTMKL akan terus mencari peluang untuk jalinan kolaborasi dengan pelbagai pihak dalam memperkasakan perkhidmatan dan khidmat bakti kepada masyarakat. Semoga jalinan kolaborasi ini dapat dimanfaatkan secara optimum demi membina Malaysia yang lebih mampan dan mengutamakan pendidikan sepanjang hayat.

Share this :