30 Mei 2024, Khamis – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PUTMKL) telah menganjurkan bengkel penyelidikan Systematic Literature Review yang berlangsung di Bilik Seminar 2, bangunan PSZKL. Program yang diadakan dari pukul 9.00 pagi sehingga 5.00 petang ini telah dipimpin oleh fasilitator yang berpengalaman iaitu Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Pendaftaran peserta telah dibuka seawal jam 8.00 pagi dan seramai 30 orang peserta telah menyertai bengkel ini. Para peserta telah bersarapan terlebih dahulu sebelum bengkel dimulakan bagi melancarkan pengajaran modul-modul bengkel yang telah dirancang. Sesi dimulakan pada jam 9.00 pagi, di mana Prof. Ts. Dr. Zaidatun telah memberi pengenalan kepada peserta mengenai penulisan kajian literatur dan analisis sistematik. Penekanan diberikan kepada analisis kritikal dan analisis bibliometrik yang merupakan komponen penting dalam memahami kajian literatur secara mendalam.


Dalam sesi ini, para peserta diajar cara mengenal pasti soalan penyelidikan menggunakan pendekatan PICOC/T dan membangunkan protokol kajian. Seterusnya, sesi berikutnya menumpukan kepada “Pelaksanaan Kajian”, di mana peserta mempelajari kaedah mencari artikel atau kajian yang relevan, menilai kualiti kajian, dan merumuskan prosedur PRISMA.


Pada sesi petang, bengkel diteruskan dengan sesi “Pelaporan Kajian”. Sesi yang berlangsung selama hampir tiga (3) jam ini berfokus  kepada penyediaan analisis deskriptif bagi kajian demografi, analisis tematik, serta kaedah perbandingan tetap. Selain itu, para peserta turut diajar cara memvisualkan penemuan kajian mereka.


Bengkel ini berakhir dengan sesi perbincangan dan kesimpulan, di mana Prof. Ts. Dr. Zaidatun mengulangi kepentingan kajian literatur yang sistematik dalam penyelidikan akademik. Beliau juga menjawab soalan daripada peserta dan memberi nasihat praktikal untuk aplikasi masa hadapan. Secara keseluruhan, bengkel ini telah memberikan pengetahuan yang mendalam dan praktikal kepada para peserta tentang cara melaksanakan kajian literatur sistematik secara berkesan.

Share this :