23 April 2024, Selasa – Bersempena dengan program Sesi Jom Baca 10 minit 2024 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Program Read & Relax Edisi Khas telah diadakan di Perpustakaan Kontena, Pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai, Skudai, Johor di bawah anjuran Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM), Bangsa Johor Bahagia Kangkar Pulai, Pengurusan Perbadanan Kenari dan Friends of UTM Library (FOLY). Program ini dipancarkan secara langsung melalui platform Facebook dan Youtube rasmi Perpustakaan UTM bermula pada jam 11.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari. Sesi ini telah menjemput Puan Junaidah Sa’aban, Ahli Jawatankuasa, Perbadanan Pengurusan Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai dan Cik Phavanee Katroya Phon-Amnuaisuk, Pelajar Sarjana Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (FOLY). Moderator bagi sesi ini adalah Puan Nor Aishah P. Mosar, Pustakawan Kanan, JPUTM.
Panel pengulas pertama iaitu Puan Junaidah Sa’aban telah memilih buku bertajuk Tuhan Menguji Kita yang ditulis oleh Ustaz Kazim bin Elias. Menurut panel, buku ini berkongsi tentang panduan dalam menghadapi ujian yang dihadapi oleh manusia dengan tenang dan berkesan. Panel turut menyatakan bahawa manusia harus bersyukur atas apa jua nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan. Ujian yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada setiap hambaNya adalah berbeza dan janganlah sesekali bersangka buruk pada Allah S.W.T. Allah S.W.T. tidak akan menguji seorang hambaNya melebihi kemampuan dirinya.
Panel pengulas kedua iaitu Cik Phavanee Katroya Phon-Amnuaisuk memilih buku bertajuk Epigenetics Revolution: How Modern Biology Is Rewriting Our Understanding of Genetics, Disease and Inheritance oleh Nessa Carey. Ia adalah sebuah karya yang menerangkan tentang epigenetik yang bakal mengubah pandangan kita tentang biologi dan kesihatan. Buku ini memberikan penjelasan yang mendalam namun masih mudah difahami tentang faktor-faktor luar seperti diet dan persekitaran yang boleh mempengaruhi gen tanpa mengubah turutan DNA. Dengan menggabungkan kajian terkini dan contoh-contoh menarik, penulis menunjukkan bagaimana epigenetik mempunyai potensi besar dalam rawatan penyakit dan pemahaman tentang warisan biologi.
Semoga inisiatif yang dijalankan melalui Program Read & Relax ini dapat menyemarak budaya membaca dalam kalangan komuniti dan juga warga UTM selain sebagai medium perkongsian ilmu yang bermanfaat bagi menyebarkan maklumat untuk meningkatkan pengetahuan. Program yang dianjurkan ini bersesuaian dengan tema Jom Baca bersama 10 Minit tahun 2024 iaitu Pembacaan Melestarikan Perpaduan.