19 Mei 2024, Ahad – Sinergi di antara Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah berjaya menganjurkan Kursus Penulisan Rencana bertempat di Dewan Utama, Center for Talent and Leadership Development (CTLD) yang telah diadakan selama satu (1) hari bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Kursus ini telah disertai seramai 106 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk staf dan juga mahasiswa UTM.

Kursus ini bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang kaedah penulisan rencana dengan format yang tepat, bermaklumat dan disokong oleh penggunaan aplikasi terkini terutamanya kecerdasan buatan (artificial intelligence (AI)) bagi menggalakkan penulisan karya asli dalam bidang sains dan teknologi dengan menggunakan medium bahasa kebangsaan. Melalui kursus ini juga, para peserta berpeluang menerbitkan rencana separa ilmiah dalam majalah bercetak atau portal dalam talian terbitan DBP atau mana-mana penerbitan di Malaysia.

Sesi pagi dimulakan dengan perkongsian ilmu yang bertajuk Penggunaan Aplikasi Artificial Intelligence (AI) dalam Penulisan Rencana yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nor Zairah binti Ab. Rahim, Pensyarah, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur. Peserta didedahkan dengan jenis-jenis aplikasi AI, peranan aplikasi AI, dan teknik penggunaan aplikasi AI yang berkesan dan efektif dalam menyediakan artikel rencana. Seterusnya, ia diteruskan dengan Pengenalan dan Teknik Penulisan Rencana dan Penerbitan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Jabatan Pengajian Media & Komunikasi, Universiti Malaya. Beliau menghuraikan tentang jenis-jenis majalah terbitan DBP serta subjek bidang yang berkaitan penerbitan, pengenalan kepada penulisan rencana, pembinaan struktur rencana, teknik penulisan yang efektif serta etika dalam penulisan dan penerbitan.

Pada sesi petang, Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah menghuraikan kaedah penyediaan draf penulisan rencana dan panduan penghantaran artikel. Fasilitator turut mencadangkan kepada peserta untuk membuat sedikit kajian dan pembacaan mengenai keperluan pihak penerbit sebelum memajukan artikel agar para penulis dapat menyediakan artikel mengikut format dan gaya penulisan yang tepat serta jelas.

Semoga kursus ini dapat memberi manfaat dan pengetahuan kepada peserta yang baru berjinak-jinak dalam penulisan rencana mahupun buat mereka yang telah mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut. Selain itu, diharapkan kursus ini turut menjadi platfom dalam memberi ruang dan peluang kepada semua peserta untuk menerbitkan artikel dalam majalah keluaran DBP dan seterusnya meningkatkan hasil penerbitan artikel dalam Bahasa Malaysia dalam pelbagai bidang dan subjek di UTM.

Share this :