Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) telah menganjurkan sebuah bengkel penyelidikan bagi siri kedua bertajuk Leveraging AI for Your Thesis. Bengkel yang berlangsung pada 12 Julai 2024 (Jumaat) ini telah diadakan di Bilik Seminar 2 bermula pada jam 8.00 pagi. Bengkel ini telah disertai seramai 32 orang peserta.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh dua (2) orang fasilitator iaitu Prof. Madya Dr. Mat Naim Aabdullah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan Encik Ahmad Sha’rainon yang merupakan seorang pakar dalam bidang pengurusan fasiliti digital.

Modul bengkel telah dimulai dengan pengenalan kepada konsep kecerdasan buatan Artificial Intelligence (AI) dalam bidang penyelidikan di mana para peserta telah didedahkan kepada asas-asas AI dan juga aplikasi dalam bidang penyelidikan moden.

Pada sesi pertama bengkel, para peserta diberi pendedahan kepada penulisan peringkat awal tesis iaitu latar belakang penyelidikan, pernyataan masalah, soalan penyelidikan dan juga objektif kajian. Di peringkat ini, para peserta turut didedahkan dengan aplikasi-aplikasi AI yang popular seperti ChatGPT, Scite.ai dan juga Quillbot yang boleh membantu untuk memantapkan penulisan tesis masing-masing.

Kemudian, bengkel diteruskan lagi dengan kajian literatur. Di peringkat ini, para peserta telah belajar mengenai kepentingan kajian literatur, cara mengenal pasti literatur utama, dan kaedah menjalankan analisis kritikal serta sintesis kajian sedia ada. Fasilitator turut menunjukan kaedah menggunakan aplikasi AI dalam menstruktur dan menulis kajian literatur dengan lebih efisien.


Sesi bengkel di sebelah petang diteruskan dengan modul metodologi penyelidikan dan pelaporan hasil kajian. Di dalam modul ini, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik mahupun kaedah pengumpulan dan analisis data serta cara menggunakan aplikasi AI untuk menvisualisasikan dapatan kajian mereka.

Setelah selesai modul tersebut, satu sesi soal jawab turut diadakan untuk para peserta bertanyakan sebarang soalan atau kekeliruan sepanjang bengkel diadakan dan fasilitator boleh memberikan bantuan atau nasihat kepada para peserta.


Secara keseluruhan, bengkel ini telah memberikan pengetahuan yang mendalam dan praktikal tentang cara melaksanakan kajian tesis menggunakan AI. Maklum balas daripada peserta sangat positif, dan ramai yang menghargai pendekatan interaktif dan pengetahuan yang diperoleh. PSZKL akan terus menganjurkan bengkel-bengkel yang bermanfaat seperti ini untuk memajukan lagi penyelidikan dan pembelajaran dalam kalangan pelajar

Share this :