Program BookSharing @UTMKL 2024/Siri 8 telah diadakan pada 11 Julai 2024, Khamis. Untuk siri kali ini, dua (2) orang pengulas telah dijemput iaitu Encik Mohd Norazrin Zahrin dan Encik Zaim Muhamad Radzi. Kedua-dua pengulas merupakan Penolong Jurutera dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi). Manakala moderator untuk sesi kali ini adalah Puan Marlina Kasiman, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL).

Encik Mohd Norazrin Zahrin memulakan perkongsian dengan memilih buku bertajuk Metanoia yang merupakan hasil karya seorang penulis bernama Luqmmann. Menurut beliau, buku ini yang disebut Me-ta-no-ya merupakan sebuah buku bercorak motivasi diri yang menampilkan isi berunsur islamik. Secara umum, metanoia bermaksud satu perjalanan yang mengubah minda seseorang, hati, diri, atau cara hidup.

Pengulas telah mengambil contoh kisah mengenai kewarasan akal seorang manusia di mana terdapat seorang lelaki tua yang dipandang serong serta dianggap gila. Penulis cuba menjustifikasikan kisah tersebut dengan membandingkan persepsi masyarakat yang sering melihat orang yang tidak waras fikirannya sebagai berbahaya dan memberi ancaman kepada masyarakat, sedangkan jika kita perhalusi situasi masakini, manusia yang kononnya berfikiran waraslah yang sering melakukan kerosakan dan kemusnahan kepada masyarakat dan juga alam sekitar.

Selain itu, pengulas turut berkongsi mengenai dua (2) orang sahabat di mana salah seorang dari sahabat ini mengambil keuntungan dari sahabatnya seorang lagi kerana sahabatnya itu tidak mahir dalam suatu permainan yang menyebabkan dirinya menang dalam permainan tersebut. Pengulas menyatakan bahawa melalui kisah tersebut, seorang yang dianggap sahabat juga belum tentu benar-benar bersahabat dengan kita. Mungkin ‘sahabat’ itu sedang meraih sesuatu keuntungan daripada diri kita di mana di penghujungnya, kita ditinggalkan begitu saja.

Tambah pengulas lagi, penulis turut menekankan tentang kepentingan doa restu ibu bapa dalam mencari titik perubahan dalam kehidupan seorang Muslim kerana memuliakan ibu bapa itu adalah satu kewajipan. Tanpa doa ibu bapa, kita mungkin hidup sebagai manusia yang hilang punca dan tidak memperoleh ketenangan.

Perkongsian sesi ini diteruskan lagi oleh Encik Zaim Muhamad Radzi yang memilih buku bertajuk Wasiat Mudah Faham yang ditulis oleh Norhanisah Johar. Menurut beliau, terdapat banyak persoalan mengenai wasiat di dalam buku ini yang boleh dibaca dan dijadikan panduan asas dalam memahami selok-belok wasiat.

Buku ini memperincikan tentang lima (5) hukum wasiat iaitu:
a. Wajib apabila pewaris ada tanggungjawab seperti zakat yang belum diselesaikan, urusan haji yang belum tertunai dan sebagainya.
b. Sunat jika pewaris ingin memberikan harta kepada kaum kerabat yang bukan waris faraid atau kepada badan kebajikan.
c. Makruh pula apabila pewaris mewariskan satu-satunya harta yang ada padanya kepada orang lain berbanding pewaris yang sebenar.
d. Harus pula adalah mewasiatkan harta kepada orang lain yang bukan penerima harta dengan asbab penerima itu lebih mengetahui fungsi harta itu yang sebenar berbanding penerima faraid.
e. Haram pula adalah mewasiatkan harta kepada tempat yang salah.

Penulis menerangkan bahawa sehingga satu pertiga daripada harta boleh diwasiatkan kepada golongan bukan waris, seperti anak angkat atau bagi tujuan wakaf. Penulis juga menekankan bahawa wasiat dapat membantu pihak yang terlibat dalam menguruskan harta peninggalan si mati dengan lebih teratur, sekaligus memudahkan proses pentadbiran harta pusaka. Selain itu, penulis memperincikan golongan bukan waris yang dinyatakan dalam buku ini, termasuklah anak tiri, anak tidak sah taraf, cucu, anak susuan, anak angkat, dan lain-lain. Oleh itu, pewaris dinasihatkan untuk membuat wasiat kepada golongan ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan di masa hadapan, terutamanya jika pewaris meninggal dunia tanpa sempat menzahirkan hasratnya kerana tidak membuat wasiat semasa hayatnya.

Share this :