Tarikh 3 September 2024 merupakan tarikh yang cukup istimewa buat Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) kerana telah berlangsungnya Majlis Keunggulan Ilmiah Mustafa Prize Laureate 2023 dan Sesi Perkongsian Inspirasi yang diadakan secara hibrid di Ruang Lestari, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru. Majlis yang dianjurkan oleh JPUTM sinergi bersama Majlis Profesor Universiti (MPU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga akademik UTM mengenai bidang kajian saintifik berimpak tinggi serta kelayakan untuk meraih Mustafa Prize.
Mustafa Prize merupakan anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian cemerlang ahli akademik yang terlibat di dalam bidang sains dan teknologi khususnya di negara-negara Islam. Dilancarkan pada tahun 2013, anugerah ini diberikan kepada para penyelidik dan saintis dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah memberi sumbangan yang signifikan di dalam bidang sains teknologi, terutamanya dalam lapangan penyelidikan yang diiktiraf oleh UNESCO.
Profesor Ir. Ts. Dr Mohd. Fadhil bin Md Din selaku pengacara majlis telah memulakan majlis dengan kata-kata aluan dan selanjutnya menyerahkan majlis kepada moderator untuk sesi perkongsian iaitu Profesor Dr. Ida Idayu binti Muhamad. Beliau mnceritakan serba sedikit biodata ringkas YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang merupakan Naib Canselor UTM dan seorang ahli akademik yang terkenal dalam bidang kejuruteraan kimia, terutamanya dalam kajian membran untuk aplikasi penapisan dan pemisahan.
Sedikit latar belakang pendidikan Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan kimia dari UTM. Kemudian, beliau telah melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama. Sepanjang perkhidmatan beliau di UTM, beliau cukup dikenali atas sumbangan dalam bidang penyelidikan membran dan telah menerbitkan banyak makalah penyelidikan dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi.
Beliau memfokuskan kajiannya pada pembangunan teknologi membran untuk rawatan air, penapisan gas dan aplikasi perindustrian lain. Beberapa inovasi beliau telah dikomersialkan dan digunakan dalam industri. Secara tidak langsung, ini menunjukkan impak nyata hasil kajiannya. Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di atas sumbangan dalam bidang akademik dan penyelidikan, termasuk anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail telah menerima anugerah Mustafa Prize pada tahun 2023 di mana ia merupakan satu penghormatan besar dalam dunia penyelidikan sains dan teknologi khususnya bagi UTM. Anugerah ini sekaligus mengiktiraf pencapaian beliau dalam bidang teknologi membran.
Sumbangan beliau bukan sahaja telah memajukan pengetahuan dalam bidang ini tetapi juga mempunyai impak praktikal yang signifikan, termasuk dalam industri dan penyelesaian masalah alam sekitar. Penganugerahan ini adalah bukti kecemerlangan beliau dalam penyelidikan dan inovasi serta komitmennya terhadap pembangunan ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menggambarkan penerimaan anugerah Mustafa Prize sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna dan penghormatan besar dalam kerjayanya. Semasa majlis penganugerahan, Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail turut berpeluang untuk bertemu dengan saintis terkemuka dari seluruh dunia dan berkongsi pandangan serta hasil penyelidikan. Beliau menyifatkan pengalaman ini sebagai peluang untuk memperkaya ilmu pengetahuan dan membina jaringan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh.
Penerimaan Mustafa Prize ini mengukuhkan lagi reputasi Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail sebagai seorang saintis yang disegani di peringkat antarabangsa. Anugerah ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada kerja keras dan dedikasi beliau dalam bidang penyelidikan tetapi juga kepada impak positif penyelidikannya terhadap masyarakat global. Beliau melihat anugerah ini sebagai satu tanggungjawab untuk terus memimpin dan membimbing generasi akan datang dalam meneroka bidang sains yang sentiasa berkembang.