Pada 25 November 2024 yang lalu, sebuah program Bicara Karya telah diadakan di mana saudara Zhariff Afandi, seorang motivator yang dikenali ramai telah dijemput untuk berkongsi tentang kandungan dan inspirasi di sebalik penulisan bukunya bertajuk S.O.S: Surfing Out Stuff – A Book of Growth & Guidance. Program ini merupakan sinergi bersama Azman Hashim International Business School (AHIBS) bersempena dengan Program Keusahawanan OKU dan Pembangunan Kompetensi GIG.
Program ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada Prof. Madya Dr. Rossilah Binti Jamil, selaku pengarah program ini. Selain itu, turut hadir ialah Dato’ Abdul Hamid Shaikh, Wakil Syarikat Openapps Sdn. Bhd. dan Puan Eamienor Zakiah, Presiden Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur di samping 23 ahli yang lain. Bagi menyantuni para penonton kelainan upaya ini, jurubahasa isyarat telah dijemput untuk menterjemah penyampaian panel kepada para penonton yang memerlukan.
S.O.S: Surfing Out Stuff – A Book of Growth & Guidance ialah sebuah buku bercorak motivasi yang yang diterbitkan pada tahun 2018 ini menawarkan panduan berharga untuk membantu pembaca mencapai kemajuan serta keseimbangan dalam kehidupan.
Zhariff Afandi dilahirkan dengan perbezaan fizikal berbanding insan sempurna yang lain, namun beliau tidak menganggap perbezaan atau kekurangan tersebut sebagai halangan untuk hidup berjaya, sebaliknya beliau telah menjadikan kekurangan tersebut sebagai kekuatan tersendiri dalam menghadapi cabaran kehidupan dan menjadi inspirasi kepada ramai orang melalui kerjaya dan ceritera hidupnya. Di dalam bukunya, beliau berkongsi pelbagai pengalaman hidupnya sebagai OKU dan bagaimana beliau menghadapi segala rintangan di tengah-tengah masyarakat yang masih memiliki sedikit pandangan skeptikal terhadap masa depan OKU, dengan harapan ia dapat membimbing dan memotivasi pembaca untuk menghadapi cabaran hidup mereka sendiri.
Menjawab pertanyaan moderator, Puan Sharifah Ezathul Imma Syed Zainal Abidin mengenai insprirasi beliau yang membawa kepada penulisan buku ini, beliau menyatakan bahawa beliau terinspirasi kepada diri beliau sendiri yang merupakan seorang OKU tanpa sepasang lengan namun tetap bersyukur atas nikmat kehidupan yang dikurniakan Allah S.W.T. dan berusaha untuk menjalani kehidupan ini sehabis baik tanpa banyak mengeluh atau bersedih dengan kekurangan yang ada. Selain itu, buku ini turut didedikasikan buat keluarga beliau yang telah menjaga serta memberi kasih sayang yang secukupnya buat dirinya. Hal ini telah membentuk persekitaran kehidupannya yang baik dan sekaligus tidak membataskan potensi dirinya untuk maju ke hadapan seperti mana insan-insan yang lain. Tambahnya lagi, minat dalam membaca buku turut membantu beliau untuk mencuba menerbitkan buku sendiri.
Ketika ditanya berkenaan cabaran hidup yang pernah beliau hadapi, menurut beliau kehidupan ini sentiasa ada cabarannya. Perasaan kecewa itu boleh berlaku dalam apa jua situasi. Sentiasa bersikap redha dalam apa jua rintangan kerana datangnya adalah dari Allah. Beliau percaya bahawa itu takdir dan setiap agama mempercayai takdir. Bertenanglah walau adakalanya cabaran itu susah untuk diterima, percaya pada diri dan bergeraklah ke hadapan. Dan percayalah bahawa ini hanyalah sementara dan hanya ujian dariNya.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk mendapatkan maklum balas membina (constructive feedback) daripada orang sekeliling sebagai salah satu cara untuk memperbaiki diri dan mencapai kemajuan. Beliau menasihati penonton dan pembaca bukunya agar tidak terlalu terkesan dengan pandangan negatif, sebaliknya menggunakan komen tersebut sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan. Selain itu, beliau juga mengingatkan agar kita sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan. Meskipun cita-cita yang diimpikan belum tercapai, hargailah segala kemudahan dan kelebihan lain yang telah diperoleh.
Mengakhiri perkongsian beliau, Zhariff berharap agar semua penonton yang hadir, termasuk mereka yang menonton secara atas talian untuk terus bersikap positif. Beliau mengingatkan juga agar kekurangan yang dimiliki tidak dijadikan alasan untuk menghadkan keupayaan diri dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.