Program Pembudayaan Ilmu anjuran Jabatan Perpustakaan UTM bertajuk Transformasi Nanas: Inovasi dalam Pertanian dan Industri telah diadakan pada Isnin, 25 November 2024 secara dalam talian menggunakan platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel jemputan bagi sesi ini ialah Profesor Madya Ts. Dr. Liza binti Md Salleh, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia dan Encik Elmie Adha bin Ismail, Pengarah Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. Manakala moderator bagi sesi ini ialah Dr. Muhammad Helmi bin Nadri, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia.
Profesor Madya Ts. Dr. Liza Md Salleh di awal perkongsian menerangkan mengenai produk Anaquin. Anaquin merupakan rangkaian penjagaan kulit termasuklah krim wajah, serum dan pencuci muka berasaskan nanas yang memfokuskan untuk merawat pelbagai jenis masalah kulit. Produk yang dihasilkan melalui kolaborasi bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dirumuskan melalui pendekatan mesra alam seterusnya mengeluarkan produk bernilai tinggi dan lebih mampan.
Selain daripada penjagaan kulit, nanas juga bermanfaat dalam mencipta satu cabang baharu dengan penghasilan produk penjagaan kesihatan berasaskan nanas yang dirumus khas untuk menyokong dan meningkatkan sistem imun, melancarkan sistem penghadaman dan menyokong kesihatan kulit.
Panel seterusnya iaitu Encik Elmie Adha yang menerangkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berfungsi sebagai agensi kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab memajukan industri nanas negara. Antara peranan LPNM ialah menyelia keseluruhan rantaian nilai industri nanas, termasuk penanaman, pemprosesan, pemasaran dan pembangunan produk hiliran. Transformasi dalam penanaman dan pemprosesan nanas memberikan peluang untuk meningkatkan daya saing, keberlanjutan dan ekonomi masyarakat setempat.
LPNM turut aktif mempromosikan penanaman dan pengembangan varieti baru nanas dalam meningkatkan daya saing industri sekaligus meningkatkan sumber pendapatan berasaskan nanas. Kesimpulannya, transformasi nanas memberikan peluang besar untuk meningkatkan nilai tambah dan kelestarian. Selain itu, penggunaan teknologi moden, inovasi produk dan strategi pemasaran yang efektif, membolehkan nanas dijadikan komoditi unggul yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.