Sinergi antara Jabatan Perpustakaan UTM dan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah berjaya menganjurkan program khidmat masyarakat di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Larkin, Johor, pada 10 Januari 2025. Program ini, yang merupakan inisiatif khidmat masyarakat pertama tahun ini menekankan peranan perpustakaan sebagai wadah ilmu dalam menyebarluaskan maklumat dan pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada program ini, pihak perpustakaan telah menyumbang sebanyak 200 bahan bacaan pelbagai genre untuk murid sekolah rendah dan menengah bagi pembangunan sudut bacaan. Selain itu, sebanyak 50 unit pen pelbagai warna yang merupakan sumbangan oleh Syarikat Swan Stabilo, turut diedarkan kepada penghuni rumah perlindungan.
Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Johari bin Surif, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN). Selepas itu, acara diteruskan dengan sambutan hari lahir dan diikuti dengan perasmian sudut bacaan yang telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia, bersama Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), Jabatan Perpustakaan UTM.
Diharapkan sumbangan bahan bacaan ini dapat memperkayakan pengetahuan, memupuk pemikiran kritis dan kreatif, serta menggalakkan amalan mencintai ilmu dalam kalangan warga Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.