19 Februari 2025 – Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan Kursus Refreshment Penggunaan Digital Signage secara dalam talian melalui platform Webex, bermula pada pukul 9.00 pagi. Kursus ini bertujuan mengukuhkan pemahaman serta meningkatkan kecekapan peserta dalam menguruskan sistem Digital Signage di Jabatan Perpustakaan UTM.

Fasilitator bagi kursus ini ialah staf perpustakaan dari Unit Sistem Aplikasi Perpustakaan, iaitu Encik Mohamad Fahiezan bin Md Zan (Pustakawan Kanan), Cik Aida Nadhirah binti Rodzuan (Pustakawan), dan Encik Ahmad Luqman bin Abdul Hamid (Pembantu Pustakawan).


Seramai 13 orang peserta yang terdiri daripada Penanggungjawab Aplikasi dan Perkakasan Digital Signage serta Penyelaras Digital Signage dari tiga perpustakaan utama iaitu Perpustakaan Sultanah Zanariah Johor Bahru, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, dan Perpustakaan Sultanah Zanariah Kuala Lumpur telah menghadiri kursus ini.


Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pemahaman peserta, kursus ini dibahagikan kepada beberapa sesi utama iaitu:

Sesi pertama: Pengenalan dan Konsep Digital Signage, membolehkan peserta memahami peranan dan kepentingan Digital Signage dalam penyampaian maklumat yang lebih interaktif dan berkesan.

Sesi kedua: Penetapan Plugin dan Dimensi Gambar, memberi penerangan mengenai tetapan plugin dalam WordPress, termasuk perubahan daripada Slider kepada Metaslider.

Selain itu, peserta turut diberikan panduan mengenai pemilihan dimensi gambar yang sesuai bagi setiap bangunan perpustakaan serta aplikasi penyuntingan untuk memastikan paparan yang optimum.

Seterusnya, sesi Langkah Awal Penyelesaian Masalah Digital Signage membimbing peserta dalam mengenal pasti serta menyelesaikan isu lazim berkaitan Aplikasi dan Perkakasan sistem Digital Signage. Fasilitator turut berkongsi senarai penanggungjawab bagi aspek aplikasi dan perkakasan untuk rujukan peserta.

Kursus ini diakhiri dengan sesi soal jawab, di mana peserta berpeluang bertanya serta berkongsi cabaran yang dihadapi dalam operasi harian sistem Digital Signage.


Diharapkan kursus ini dapat memberi manfaat serta membantu peserta meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat melalui sistem Digital Signage. Dengan pemahaman dan kemahiran yang diperoleh, peserta diharapkan dapat mengaplikasikan pengetahuan ini dalam mengurus dan menyelenggara sistem dengan lebih cekap, sekaligus memastikan maklumat yang disampaikan kepada pengguna perpustakaan lebih efektif dan relevan. Dengan latihan berterusan, Jabatan Perpustakaan UTM komited untuk memastikan sistem ini terus digunakan secara efisien dan inovatif bagi memenuhi keperluan pengguna perpustakaan.

Share this :