7 Mac 2025 (JUMAAT) – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) amat berbesar hati menerima dua (2) buah buku hasil sumbangan dari En. Khairil Zaidi bin Mohd Zaki, Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni). Buku ini merupakan buku terbitan Majelis Adat Aceh (MAA) dan telah diserahkan oleh Asisten II Sekretaris Daerah Kabupaten (Sekdakab) Aceh Besar, H. M. Ali, S.Sos, M.Si,  kepada wakil delegasi mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersempena dengan program Global Learning Program yang telah dianjurkan pada Februari 2025 bertempat di Universitas Syiah Kuala, Banda Aceh, Indonesia.

Kunjungan delegasi mahasiswa UTM ke Aceh ini merupakan sebahagian daripada program pertukaran budaya dan akademik antara Malaysia dan Aceh. Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan serta memperkaya wawasan kedua-dua pihak. Melalui pertukaran ini, mahasiswa UTM berpeluang untuk mempelajari secara langsung tentang kekayaan budaya dan adat istiadat Aceh, manakala masyarakat Aceh pula dapat memahami dengan lebih mendalam tentang budaya dan tradisi Malaysia.

Buku yang pertama dengan tajuk Kedudukan, Tugas, dan Fungsi Lembaga Adat di Kabupaten Aceh Besar, merupakan buku yang ditulis oleh para pengurus adat di Aceh Besar pada tahun 2024. Buku ini membincangkan peranan, tugas, dan fungsi institusi adat dalam masyarakat Aceh Besar. Sementara itu, buku kedua bertajuk Adat Meukawen Aceh Rayek, merupakan karya Asnawi Zainun dan Muhajir Al-Fairusy yang diterbitkan pada tahun 2022. Buku ini mengupas secara mendalam tentang adat resam perkahwinan masyarakat Aceh, khususnya di Aceh Rayek.

Penyerahan buku-buku ini kepada JPUTM bukan sekadar simbolik, tetapi ia melambangkan komitmen bersama dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya serta ilmu pengetahuan. Buku-buku tersebut diharapkan dapat menjadi rujukan berharga bagi mahasiswa dan penyelidik di UTM yang berminat untuk mendalami budaya dan adat istiadat Aceh. Selain itu, penyerahan ini juga mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Aceh, khususnya dalam bidang akademik dan budaya.

Sebelum penyerahan kepada JPUTM, majlis penyerahan buku telah diadakan di Aceh Besar dengan penuh meriah. Asisten II Sekdakab Aceh Besar telah menyampaikan buku-buku tersebut kepada delegasi mahasiswa UTM sebagai tanda penghargaan dan kerjasama antara kedua-dua pihak. Majlis tersebut dihadiri oleh wakil-wakil dari pihak Aceh Besar dan delegasi UTM.

Penyerahan buku-buku adat ini kepada JPUTM bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap warisan budaya Aceh, tetapi juga menjadi bukti komitmen bersama dalam memelihara dan mempromosikan khazanah ilmu dan budaya. Inisiatif seperti ini amat penting dalam memupuk hubungan yang lebih erat antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, khususnya antara Aceh dan Malaysia.

Secara keseluruhan, penyerahan buku ini kepada JPUTM adalah satu Langkah proaktif dalam memelihara warisan budaya dan memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Aceh. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang bagi manfaat bersama.

Share this :