Program BookSharing @UTMKL 2025/Siri ke-2 telah diadakan pada 23 April 2025 (Rabu). Seorang pengulas telah dijemput untuk berkongsi dengan para penonton mengenai bahan bacaan beliau iaitu Puan Tengku Nur Nadhirah Tengku Dzulkifli dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Program kali ini dikendalikan oleh moderator Encik Muhammad Hanis Rahim.

Puan Tengku Nur Nadhirah Tengku Dzulkifli memulakan perkongsian buku pilihannya bertajuk Growing up in Terengganu  yang ditulis oleh Wan A. Hulaimi atau nama penanya Awang Goneng.

Awang Goneng merupakan anak kelahiran Terengganu yang membesar di negeri pantai timur itu. Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris, namun gaya bahasanya tidak begitu kompleks, malah mudah difahami sekiranya pembaca memiliki asas pengetahuan dalam Bahasa Inggeris. Menurut pengulas, buku ini sarat dengan kisah-kisah kemanusiaan yang dirasakan dekat di hati pembaca sekiranya dihayati dengan baik.

Setiap bab yang dipersembahkan oleh penulis dalam bentuk esei pendek yang menceritakan tentang zaman kanak-kanak penulis —  kehidupan kampung yang sederhana, suasana masyarakat yang akrab, serta pelbagai makanan tradisional Terengganu yang menyelerakan. Penulis juga turut berkongsi tentang keunikan dialek Terengganu yang popular serta lengkap dengan cerita-cerita lucu dan telatah orang kampung yang mencuit hati.

Buku ini turut mengetengahkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang dalam keluarga, kepentingan adab dan agama, serta amalan tradisi yang semakin dilupakan. Gaya penulisan yang bersahaja dan jujur meskipun berbahasa Inggeris masih dapat membuatkan para pembaca seolah-olah turut sama merasai pengalaman penulis,  bernostalgia dengan kenangan lalu dan ketenangan suasana kampung zaman dahulu.

Keseluruhannya, buku ini bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi juga mengajak kita menghargai kehidupan yang sederhana, keluarga, dan tradisi — semuanya diadun indah dalam sebuah naskhah yang pasti meninggalkan kesan di hati pembaca.

Share this :