Program Ijtihad Pustaka Siri ke-3 yang telah berlangsung pada 19 Mac 2025 yang lalu merupakan sinergi di antara Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS). Sesi kali ini mengetengahkan perbincangan mendalam mengenai buku “Sihir: Perbuatan, Rawatan dan Pencegahan” karya Khadher Ahmad, diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 2018. Panel jemputan adalah Prof. Madya Dr. Nurazmallail bin Marni, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM Johor Bahru, manakala Dr. Naemah binti Hamzah, juga Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM Johor Bahru, bertindak selaku moderator. Tumpuan sesi kali ini adalah mengupas realiti sihir dalam konteks masyarakat Malaysia, implikasi sosial dan rohaniah, serta meneliti kaedah rawatan dan pencegahan menurut perspektif Islam.
Perbincangan dimulakan oleh panel dengan memberikan definisi sihir iaitu sebagai satu amalan berunsur ghaib yang memanfaatkan jin atau tenaga syaitan untuk tujuan negatif, seperti mengganggu kesihatan fizikal dan mental manusia. Panel menegaskan bahawa sihir wujud dalam pelbagai bentuk – dari sihir pemisah, pengasih, hingga sihir penyebab gangguan mental dan fizikal – dan seringkali sukar dikesan kerana sifatnya yang halus. Tanda-tanda seseorang terkena gangguan sihir termasuk resah gelisah, sukar tidur, pening berterusan, sesak nafas, serta mimpi ngeri yang berulang-ulang. Memahami tanda-tanda ini membolehkan masyarakat mengenal pasti gejala awal sihir dan tidak mengabaikannya sebagai masalah psikologi semata-mata.
Seterusnya, panel mengupas tiga peringkat rawatan sihir yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Peringkat pra rawatan menekankan keperluan membersihkan persekitaran dengan cara menyingkirkan azimat, tangkal, muzik melalaikan, dan unsur maksiat lain di samping memperkukuh akidah pesakit agar yakin hanya Allah yang Maha Penyembuh. Semasa rawatan, teknik Ruqyah menggunakan ayat-ayat Al-Quran diaplikasikan dengan meletakkan tangan di kepala pesakit sambil membaca Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas. Air ruqyah dan minyak habbatus sauda turut digunakan sebagai medium sapuan atau minuman penyembuhan. Pasca rawatan melibatkan penekanan amalan harian dengan solat berjemaah, zikir pagi dan petang dengan bacaan Al-Mathurat, bacaan Al-Quran secara berterusan, serta amalan wudhu’ yang konsisten. Pesakit digalakkan menghindari muzik yang melalaikan dan perbuatan maksiat agar ‘pagar diri’ sentiasa terjaga.
Selain rawatan, panel menekankan aspek pencegahan sihir melalui pengukuhan hubungan spiritual dengan Allah. Panel menganjurkan amalan zikir “La hawla wala quwwata illa billah…” sebanyak 100 kali selepas subuh, bacaan Ayat Kursi sebelum tidur dan basmalah sebelum memulakan apa-apa kegiatan. Menjalani kehidupan dengan gaya hidup Islami dengan menjauhi perkara syubhah dan maksiat serta bergaul dengan individu soleh dan solehah turut ditekankan sebagai benteng rohani supaya sihir kurang berkesan.
Di samping itu, panel membangkitkan wacana undang-undang berkaitan jenayah sihir, yang masih menjadi polemik dalam memastikan perlindungan undang-undang menyeluruh. Buku Khadher Ahmad bukan sahaja mengetengahkan aspek teori dan amali ruqyah, tetapi juga menyeru kepada perbincangan legislatif bagi menangani kes jenayah sihir secara formal.
Kesimpulannya, Program Ijtihad Pustaka Siri ke-3 memberikan sinopsis ilmiah dan praktikal mengenai bahaya sihir, mekanisme pelaksanaannya, serta panduan rawatan dan pencegahan berteraskan Islam. Ulasan panel membuka pintu pemahaman lebih luas kepada masyarakat Malaysia agar lebih peka terhadap ancaman rohani ini, selaras dengan tuntutan agama dan keperluan menjaga keharmonian sosial.