Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan program Scholars Chapter Siri 2/2025 yang bertemakan “Kesejahteraan Spiritual: Remaja Muslim” pada 20 Mac 2025 (Khamis). Program ini diadakan secara dalam talian dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan merupakan kesinambungan daripada usaha berterusan untuk memperkasa budaya membaca serta memperkayakan citra keilmuan dalam kalangan warga kampus melalui pendekatan santai dan berintelektual.

Sesi ilmiah ini menampilkan Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, sebagai panel jemputan, manakala Dr. Mohammad Saipol Mohd Sukor, Pensyarah Kanan dari fakulti yang sama, bertindak sebagai moderator. Antara isu yang disentuh termasuk:

  • Kepentingan keseimbangan antara aspek spiritual dan duniawi dalam kehidupan remaja.
  • Pengaruh media sosial dan teknologi terhadap kestabilan emosi dan spiritual.
  • Cara mengatasi tekanan hidup dari perspektif Islam.
  • Amalan-amalan yang dapat mendekatkan remaja kepada Allah dan memberi ketenangan jiwa.

Program ini tidak hanya memberi pendedahan tentang konsep kesejahteraan spiritual, malah turut membuka ruang refleksi kepada penonton terhadap cabaran sebenar yang dihadapi oleh remaja Muslim dalam dunia moden. Penonton juga berpeluang mengajukan soalan secara langsung, menjadikan sesi lebih interaktif dan bermakna.

Siaran program telah dibuat secara langsung melalui Facebook Live dan YouTube UTMLibraryMedia, sekaligus memperluaskan capaian kepada komuniti dalam dan luar kampus. Penganjuran siri kedua ini membuktikan komitmen berterusan Jabatan Perpustakaan UTM dalam menyokong pembangunan sahsiah, kerohanian dan ilmu pengetahuan menerusi medium yang inklusif, interaktif dan mendidik.

Share this :
UTM Open Day