Perpustakaan UTM terus mengorak langkah sebagai pemangkin kepada pembelajaran berasaskan komuniti menerusi pendekatan Citizen Science atau Sains Warga. Terbaharu, inisiatif ini dizahirkan melalui penganjuran pameran Naratif Alam: Biodiversiti UTM melalui Sains Warga, yang menggabungkan keindahan alam semula jadi kampus dengan ekspresi seni dan keterlibatan komuniti kampus.

Pameran ini mengetengahkan dua segmen utama yang mencerminkan kekayaan biodiversiti UTM iaitu Burung-burung UTM dan Karya Cetakan Eko (Eco Print Artworks). Burung-burung UTM memaparkan koleksi fotografi burung yang dirakam oleh Profesor Madya Muhammad Mun’im Ahmad Zabidi ini mempamerkan pelbagai spesies burung yang mendiami persekitaran semula jadi di kampus UTM Johor Bahru. Setiap rakaman bukan sahaja mendokumentasikan keunikan spesies tempatan tetapi turut menjadi medium pendidikan dan kesedaran biodiversiti kepada warga kampus. Manakala, Karya Cetakan Eko (Eco Print Artworks) pula ialah hasil cetakan kreatif pada beg kanvas ini merupakan karya para peserta International Citizen Science Boot Camp 2024: Train The Trainers yang telah berlangsung pada 14 hingga 16 Oktober 2024. Menggunakan tumbuhan sebenar dari sekitar Hutan Rekreasi UTM, setiap rekaan mencerminkan kreativiti individu serta keunikan flora tempatan, dalam usaha menggabungkan seni dan kelestarian alam.

Pameran ini turut menyerlahkan peranan perpustakaan sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang menghubungkan penyelidik, komuniti dan sumber maklumat melalui pendekatan saintifik yang inklusif. Dalam konteks ini, Sains Warga menjadi wahana memperkasa pembangunan mampan berasaskan ilmu melalui penglibatan aktif komuniti, sekali gus menyemarakkan budaya penyelidikan yang responsif terhadap cabaran setempat.

Dengan menjadikan alam sebagai naratif utama dan warga kampus sebagai penyampai ceritanya, Naratif Alam bukan sekadar pameran, tetapi satu platform pemindahan pengetahuan yang merentas sempadan disiplin – menyatukan sains, seni dan masyarakat.

Share this :